Monday, May 5, 2008

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Mak

Hari ini, 5 Mei 2008, usia emak 57 tahun. Alhamdulillah, mak sihat. Walau didampingi kencing manis dan darah tinggi, mak bolehlah dikategori dalam golongan sihat. Tidak pernah masuk wad kerana dua penyakit itu masih peringkat asas. Namun, pengambilan ubat yang berterusan membimbangkan.

Mak keseorangan. Tanpa abah. Kasihan bila terkenangkan mak di Serendah. Bila di ajak berlama-lama di Segamat, mak mengelak. Teringatkan abah, katanya. Setiap minggu, mak ke kubur abah. Kasihan mak kerana kubur abah di atas bukit. Terpaksa mendaki lebih 20 mata anak tangga untuk menemui kekasihnya. Sebaik sampai, dibentangnya tikar, dibukanya penutup botol air, dan mula membaca surah Yasin. Usai bacaan, air disiram penuh kasih sayang. Mak kemudiannya akan mencapai seberkas penyapu lidi yang sengaja ditinggalkan di bawah pokok. Dibersihkan sekitar kubur abah dan kak long. Rumput yang memanjang di gunting kemas. Sebelum berangkat pulang, mak akan menghadiahkan Al Fatihah buat abah dan Kak Long sekali lagi sambil mengusap-usap batu nisan. Air mata mengalir laju.

Begitulah rutin mak setiap minggu. Suami tercinta dan anak sulung kesayangan pergi meninggalkannya dalam tahun yang sama. Allah tentu tahu sejauh mana ujian ini boleh ditanggung bahu mak. Allah Maha Penentu. Mak faham dan mak tabah.

Hari ini, saya menangis kerana tidak dapat menyambut ulang tahun kelahiran bersama-sama mak. Pagi tadi semasa menelefon mak dan mengucapkan selamat, mak terus menangis. Saya faham perasaan mak. Mak, insyallah, cuti sekolah ini, kami akan pulang bercuti ke Serendah. Bolehlah kita ke kubur abah dan Kak Long.

Kegembiraan mak telah surut sejak pemergian dua insan tercinta. Tiada seorang pun yang boleh mengubahnya. Nikmat kehidupan mak sekarang ialah kunjungan ke kubur, kesihatan yang baik dan keselamatan anak-anaknya dunia akhirat.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Mak...

5 comments:

p.a.y.a.t.c.r.a.n.e.i.n.c said...

anak2 permata hati ibu, tapi siapakah yang menjaga hati ibu? [petikan iklan susu ape ntah]

seorang motivator untuk kami palajar tajaan telekom pernah berkata, jangan harap nak balas jasa ibu bapa kerana kita tak akan dapat membalasnya. cukuplah sentiasa buat baik dan menyenangkan hati mereka...

peringatan untuk diri sendiri...wah sedih plak...

ina marjana ulfah said...

salam ani, tersentuh membaca entri ini. Semoga bonda ani, ani & seisi keluarga terus tabah. Kita akhirnya akan pergi ke sana juga.
Selamat Hari Lahir utk Bonda Ani.

aniisma said...

Salam

Payat, kita boleh balas tapi dalam kuantiti dan kualiti yang sangat terbatas. Hanya dengan menjadi anak yang soleh dan solehah akan membuatkan mereka cukup bahagia dunia akhirat. Insyallah, bila soleh dan solehah wujud dalam diri kita, hal-hal lain akan mendapat keberkatan.

Kak Lin, terima kasih banyak. Ketabahan yang kadang ada kadang hilang membuat kesayuan hadir menyelinap di sudut perasaan...

ida_zy said...

salam kak ani

selamat balik kampung jumpa mak :)
kalau arwah mak saya masih hidup
umur beliau sama dengan mak kak ani

aniisma said...

Salam Ida

Ida pernah cerita dengan kak ani dulu tentang arwah mak ida. Alhamdulillah, mak kak ani masih sihat. Rasanya kehilangan mak akan lebih dirasai. Kehilangan ayah dirindui...