Tuesday, June 22, 2010

Cerita 22 Jun 2010

22 Jun 2010, saya kembali menulis di sini.

Ada alasan untuk menyepi sekian lama, alasan yang tersimpan di hati, tak perlu diluahkan. Alasan biasa-biasa pastinya.

12.25 pagi, suami menelefon, menyanyikan dua versi lagu yang bermesejkan ucapan ulang tahun. Terima kasih abang!

5 pagi, hujan turun dengan lebatnya. Saya bermalas-malasan dahulu menikmati bunyi curahan hujan pagi dan kemudiannya membuka pintu di anjung kamar. Alunan curahan hujan bertemankan sahutan si kodok sungguh melekakan. Indah. Saya hamparkan sejadah berhampiran pintu. Biarlah solat Subuh ini ditemani hawa dingin hujan yang segar.

Allah Maha Pemurah, hari yang bahagia ini, saya dikhabarkan dengan berita-berita gembira. Hari ini hari yang berjalan lancar. Panggilan telefon dari Tabung Haji mendebarkan walau belum memastikan apa-apa. Panggilan seterusnya dari MIA juga menawarkan satu pengalaman baharu andai tiada halangan. Panggilan dari emak dan adik beradik serta rakan sahabat menambah ceria. Kunjungan Siti Mariam dan Intan ke kamar pejabat menghilangkan sunyi kampus dan kami meneruskan perbualan di meja makan. Siti belanja. Semoga murah rezekimu dan dipermudahkan sarjanamu.

Di rumah, selepas solat Maghrib bersama anak-anak, kami ke Mawa De Village. Saya belanja sempena meningkat umur setahun lagi. Tapi memang saya yang akan bayar pun setiap kali keluar makan dengan anak-anak. Abah mereka di KL.

Saya memesan lempeng. Anak-anak memesan nasi goreng yang pelbagai jenis. Along yang teruja dengan Piala Dunia memesan Brazil Fried Rice. Lempeng sampai dahulu. Lima jejari tangan kanan mencubit pantas, dicicah sambal tumis ikan bilis. Kemudian, nasi-nasi goreng sampai. Mereka menikmati penuh selera. Saya yang kononnya ingin mengurangkan pengambilan nasi terkulat-kulat. Lempeng yang sepatutnya mampu mengenyangkan dikongsi lima. Saya pesan pula roti bakar, butter dan kaya. Anak-anak selesai makan. Roti akhirnya sampai. Pantas juga tangan-tangan mereka membahagikan roti tersebut kepada 5 bahagian. Akhirnya birthday mom tidak juga kenyang...

Sampai di rumah, kami solat Isyak berjemaah. Dan kini, saya mengadap komputer, menyimpan memori indah 22 Jun 2010...Syukran Ya Allah.

7 comments:

nurhuda_cahayapetunjuk said...

Assalamualaikum..

Rupanya hari ini, hari lahir puan..:)
Selamat hari lahir Puan..semoga panjang umur, murah rezeki dan berbahagia di dunia dan akhirat..mudah-mudahan Allah memberkati puan sekeluarga..:)

arifrusli said...

Happy Birthday Puan ! Semoga dimurahkan rezeki olehNya.

ida_zy said...

selamat hari jadi kak ani
semoga diberkati Allah dalam segala urusan, amin

Anonymous said...

Happy birthday,maybe sy org terakhir yg wish...apa pn sy doakan akak sihat,panjang umur,murah rezeki serta bahagia di samping keluarga tercinta...amin...

Nurzeatul said...

Salam Kak Ani,

Beberapa kali berjumpa minggu lepas, tak tahu pula birthday kak Ani.

Happy belated birthday, Semoga dilimpah ruahkan rezeki dipermudahkan semua urusan dunia akhirat dan diperkenankan Allah semua hajat!

aniisma said...

Salam Huda, terima kasih atas ucapan dan doa Huda.

Salam Arif, rezeki keimanan dan ketakwaan paling penting dalam hidup, amin untuk doa Arif.

Salam Ida, semoga urusan Ida di Pahang juga dipermudahkan Allah.

Salam Dik Nony, terima kasih.

Salam Nurzea, amin, amin untuk doa Nurzea. Hajat memang banyak, usaha dan doa je kurang...terima kasih atas ucapan

ayu said...

puan, can u call me...ayu 0177398275...saya nak share something...i really need some talk with you....maaf...xe kdit...ayu...thanks bagi say A- for investment law