Tuesday, June 16, 2009

Derita Yang Hidup

Sekitar Mac hingga Julai 9 tahun yang lepas, saya namakan Travelog Sedih Sebuah Kehidupan. Dua kali seminggu saya berulang alik Segamat- Serendah bersama 4 orang anak yang masih kecil. Sekitar 5 bulan itulah, arwah Kak Long pergi selama-lamanya dan meninggalkan dua orang anak lelaki yang masih kecil. Yang tua berumur 5 tahun, yang kecil 6 bulan. Kami bersengkang mata menjaga keduanya pada waktu malam. Yang tua sudah mengerti. Namun kesedihannya sangat kami fahami. Yang kecil, Umar seakan memahami ketiadaan ummi lalu merengek menangis setiap malam. Abang Long masih terkejut dengan kematian Kak Long yang terlalu pantas. Dia tidak berdaya. Kamilah sandarannya.

Arwah abah mula sakit seminggu setelah Kak Long meninggal. Kami sangka dia rindukan Kak Long. Rupanya kansernya telah merebak. Umar diserahkan kepada opah, emak abang long. Kasihan Umar...Tiga bulan abah terlantar di Hospital Selayang. Akhirnya, Julai hadir menamatkan kisah sedih abah.

Kami yang hidup menderita. Mak paling terasa. Selama setahun kami betul-betul menderita dengan kenangan bersama mereka. Kenangan menjadi teman tidur. Hanya selepas setahun, kehidupan terasa kembali tenang. Tenang yang kurang kenikmatannya.

Buat Jaja, kembalinya Ijam kepada Pencipta sudah tertulis. Kita terima dan kita redha. Kita tabah namun selalu kalah dengan kenangan bersama mereka yang telah tiada...

Itulah derita buat yang masih hidup.

1 comment:

Nizam Awang said...

Mungkin kenangan lama itu kadangkala memilukan. Inikan pula insang yang akrab sentiasa bersama kita. Rahmat dan kasih sayang-Nya yang tidak terbatas itu akan memulihkan kita, Insha Allah.
~ mafhum al-baqarah (2): 286
Allah tidak membebankan seseorang melewati kemampuannya. ;-)