Wednesday, May 20, 2009

Nasyid dan saya

Saya suka nasyid, telinga saya mesra nasyid, bukan kerana saya orang alim warak tapi irama nasyid sudah sebati di hati sejak bersekolah menengah. Di UIA, genre lagu ini makin menambat hati apabila irama melodi rentak diantarabangsakan oleh pelajar dari pelbagai negara. Apabila berada di konsert nasyid, hati terasa sangat bahagia, sangat suka, sangat gembira, sangat teruja, sekali lagi saya tekankan di sini, saya bukanlah orang alim yang hanya akan menyukai nasyid tapi nasyid sebati di hati.

Sekarang saya menyampah dengan Sinar FM yang makin mengarut pengisiannya, Era FM kurang sesuai dengan umur. Saya tukar ke Klasik FM. Bolehlah sekali sekala. Ikim FM pula terlalu banyak iklan dan pengisian bercorak sembang-sembang. Bila memandu saya perlu halwa telinga. Rancangan sembang-sembang ini terlalu serius. Jadi saya beli kompilasi nasyid lama dan baru. Hati jadi tenang dan ingat pada Allah.

Tadi, berlangsung FENAS 2009 di UiTMJ. Saya tahu ia bermula pada 18 Mei dan saya tahu ia saringan. Jadi saya tangguhkan niat menonton. Pagi ini sejurus sampai ke pejabat, saya baca emel. Peringkat akhir akan bermula pukul 9 pagi di DST. Emel yang dihantar begitu biasa-biasa sahaja, tidak setimpal dengan usaha IRAMA dan En Syamsul, penasihatnya. Saya fikir, emel pemberitahuan tentang acara terbesar hari ini patut dihantar semalam dan dibesarkan font dan diwarna-warnikan hurufnya.

Akibatnya, saya tercicir peluang menyaksikan persembahan UiTMJ. Terkilan kerana Naim, Latif, Han dan Amir antara ahli kumpulan nasyid UiTMJ. Namun kehampaan terubat apabila mereka diumumkan sebagai NAIB JOHAN.....dan UPSI sebagai JOHAN memang bagus persembahan mereka. Sungguh harmoni...

Saya suka nasyid.

1 comment:

MuJaHiDaH SyUhAdA iLYa NaTaSya said...

assalamualaikum..

malam fenas nampak puan kat dst, nak tegur jugak mulanya pastu tup2 dah hilang lak.. saya pun masa tu nak 'melayan' shbt2 uitm pahang(mereka je muslimah yg datang)..

apa pun, moga pertandingan nasyid ini bukan sekadar nasyid.. moga dipraktikkan.. insyaAllah.. =)