Wednesday, August 20, 2008

Hak Kanak-kanak (5)

Iklan mengenai seorang penjual cempedak lakonan Afdlin Syauki sarat dengan mesej. Betapa dia menyimpan duit saban hari demi masa depan anaknya, Man Gyver. Man yang cerdik, yang sering ditolak kemahuannya, akhirnya dihulurkan buku akaun simpanan berjumlah lebih RM41,000. Man kemudiannya selesai pengajian dan berkerjaya, menghadiahkan sebuah motorsikal kuasa tinggi impian ayah tercinta.

Saya mengaitkan iklan ini dengan dua hak kanak-kanak. Artikel 28 dan 29 Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

Artikel 28 menggariskan setiap kanak-kanak mempunyai hak terhadap pendidikan. Artikel 29 pula mengatakan pendidikan hendaklah mempunyai matlamat untuk mengembangkan personaliti, bakat dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak pada tahap potensi yang paling tinggi.

Man Gyver beruntung kerana dianugerahkan IQ yang tinggi. Mungkin Man bekas pelajar UiTM Penang dalam jurusan Kejuruteraan Automatif.

Namun bagi kanak-kanak yang IQnya rendah, mereka akan dikumpulkan dalam satu kelas yang khusus buat mereka. Kelas Z mungkin atau Kelas Ceria bukannya Kelas Bijak. Kanak-kanak Kelas A atau Kelas Bijak dijemput menghadiri kelas tambahan sewaktu cuti sekolah. Mereka jugalah yang sering mewakili sekolah ke Pertandingan yang pelbagai. Pernah saya bertanya kepada seorang guru, mengapa pelajar yang sama mewakili sekolah. Jawapannya, tiada masa nak latih pelajar lain. Maknanya, pelajar lain bukanlah tidak berbakat namun tidak berpeluang.

Kanak-kanak kelas Z pula semasa cuti sekolah menghabiskan masa mereka dengan melukis, menyanyi, mewarna dan menonton. Mereka selalunya lemah Matematik, lemah Sains, lemah Bahasa Inggeris. Bila bersekolah menengah, mereka akan mengambil matapelajaran wajib sahaja. Mereka tidak ambil peduli apabila matapelajaran Sains diajar. Akhirnya akibat bosan, mereka membuat ujikaji atas paru-paru sendiri dengan menghisap rokok di gerai Kak Ton, tidak jauh dari sekolah.

Sewaktu berguru dengan PM Datin Noor Aziah Haji Awal di UKM, saya tertarik dengan saranan beliau agar kelas khas diwujudkan bagi menggantikan kelas-kelas yang tidak mampu ditakluki pelajar berIQ lemah. Maknanya, sekiranya A, lemah Matematik, A boleh beredar ke kelas lain, kelas drama misalnya. Atau kelas membuat biskut. Atau kelas pengajian Al-Quran. Saya kira, kelemahan atau kepandaian seseorang kanak-kanak itu sudah dapat dikenal pasti dengan keputusan UPSR. Oleh yang demikian, diperingkat menengah, diadakan kelas-kelas khas yang boleh mengembangkan bakat dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak ini. Tidaklah mereka memberontak dengan keluar dari kawasan sekolah akibat kebosanan.

Gejala sosial boleh dielakkan apabila sekolah mesra dengan kemampuan mental kanak-kanak. Malaysia berkebolehan untuk menyediakan kemudahan ini. Kemudahan yang saya fikir mampu dilaksanakan dengan kehadiran ribuan graduan saban tahun.

Akta Pendidikan mungkin perlu dipinda. Pindalah dengan mengambil kira setiap aspek keperluan kanak-kanak. Pastinya mereka di Kementerian Pelajaran sudah mengambil kira kelebihan sebahagian negara lain semasa lawatan 'benchmarking'.

Mungkin apabila satu pembaharuan dilakukan ke atas sesuatu sistem, akan lahir perkara lain yang bersifat positif. Cubalah...

2 comments:

ROS said...

Salam Ani,

Dua2 entri terbaru Ani menyentuh hati saya. Banyak yang kita (semua pihak) kena buat untuk anak2 kita. Ia jadi mudah jika semua pihak memainkan peranannya.

Anonymous said...

Salam. Saya sekadar teringat pandangan almarhum Prof Syed Hussin Alattas ttg hasil sistem pendidikan kita yang banyak melahirkan intelegensia berbanding intelektual. Barangkali kepincangan yang banyak dalam sistem pendidikan kita sekarang adalah natijah daripada dokongan intelegensia yang terhasil dari masa lampau kita.