Saturday, April 9, 2011

Ke Hospital Segamat Lagi...

Semalam, 8 April 2011, tarikh yang akan dikenang selagi hayat dikandung badan. Hazlina Hassan, pensyarah Fakulti Perakaunan, adalah antara rakan rapat saya. Suaminya di Kuala Lumpur. Telah hampir 3 tahun tidak tinggal sebumbung. Weekend couple. Anak-anak mereka, Sofea, Aisyah dan Aiman sungguh comel. Namun, kesemua mereka mempunyai masalah kesihatan. Sering pula bermalam di wad Hospital Segamat. Kasihan... Jumaat, 8 April 2011, pukul 2 petang, Lina menelefon saya. Ingin menumpang kereta pukul 2.40 petang nanti. Kami ada mesyuarat akademik. Semasa dalam perjalanan ke UiTMJ, barulah dia memberitahu sebab sebenar kenapa dia tidak dapat memandu sendiri. Dia keletihan rupanya. Aisyah telah 3 malam ditahan di wad Hospital Segamat. Lelah dan viral fever. Saya kata padanya, laaa tak bagitahu kak Ani pun. Dia menjawab, dah selalu sangat masuk wad kak...Sekarang ni Aiman pulak dok demam, sambung Lina lagi. Usai mesyuarat, kami minum petang dahulu. Lina hanya minum. Mungkin tiada selera memikirkan Aiman di rumah yang dijaga emaknya yang baharu sahaja sampai dari Perlis semata-mata untuk membantu Lina menjaga 3 anaknya yang sering tidak sihat. Tiba-tiba handphone Lina berbunyi. Dan sejurus selepas itu, dia yang berwajah cemas memandang saya, Kak Ani, kita kena balik sekarang, Aiman menggigil teruk. Saya memandu ke Taman Bunga Raya dengan kelajuan agak maksimum. Lina di sebelah kelihatan sangat cemas. Ini pertama kali Aiman diserang demam yang agak luar biasa. Sampai sahaja di rumahnya, Lina seolah-olah melompat keluar dari Saga saya, dicampaknya tas tangannya ke dalam Wajanya yang sedia terpasang enjin untuk terus bersedia ke Hospital Segamat. Saya mengekori Lina. Di ruang tamu, Aisyah yang belum lagi kebah sepenuhnya berbaring di atas sofa sambil merengek. Aiman duduk melunjur kaki, berbogel. Opahnya mengelap badan Aiman dengan tuala basah. Dan tibalah saat yang sangat mencemaskan dalam hidup saya. Tiba-tiba sahaja, Aiman terlentang ke belakang dengan mata tertutup. Emak Lina menjerit mengarahkan Lina mendukung Aiman ke bilik air. Dijirusnya Aiman dengan air shower. Lina yang mendukung Aiman turut lecun. Saya membantu Lina memegang Aiman. Saya turut basah. Mata Aiman masih terpejam. Badannya longlai. Lina memanggil-manggil nama Aiman. Aiman, Aiman, bangunlah, kenapa buat mama macam ni..Aiman, bangunlah nak...bangun. Saya jadi sayu dengan rayuan Lina. Airmata saya tumpah juga akhirnya mendengar rayuan Lina yang tidak berhenti-henti memanggil nama Aiman. Dipeluk erat anaknya yang seakan pengsan sementara emak Lina kelam kabut menjiruskan air ke seluruh badan cucu lelakinya itu. Dalam keadaan yang mencemaskan itu, saya menyuruh Lina segera ke Hospital. Segera! Lina keluar dari bilik air mendukung anaknya yang masih longlai. Lina yang lecun kebasahan tiba-tiba tergelincir. Kepalanya terhantuk ke lantai. Namun, Aiman yang didukung terselamat kerana erat dipeluk Lina. Lina pantas bangun seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak sakit. Ya Allah, hati wanita saya tersentuh lagi. Saya menangis...Yang keluar dari mulut Lina ialah, Alhamdulillah, kepala mama yang terhantuk, bukan kepala anak mama........ Saya memandu ke Hospital Segamat. Lina di sebelah saya, meriba Aiman. Emak dan adik Lina tinggal di rumah dahulu bagi menguruskan pakaian dan keperluan Aiman di Hospital nanti. Di dalam Saga, Lina memanggil-manggil nama anaknya dengan nada yang sangat sayu. Aiman, bangun sayang, bangunlah, janganlah takutkan mama, bangun nak...Aiman sayang mama kan...Rabbi Yassir wala Tu'assir, sesekali doa tersebut keluar dari mulutnya. Saya memasang double signal. Memandu 120-130km sejam. Jalan ke Hospital Segamat petang itu agak sibuk. Maklumlah pukul 5 petang. Waktu keluar pejabat. Dalam keadaan begitu, trafic light Segamat tidak banyak membantu pemanduan saya. Namun, ada juga pemandu yang terperasaan kerdipan double signal Saga saya lalu memberi ruang untuk Saga maju ke hadapan. Akhirnya sekitar 5.30 petang kami tiba di perkarangan laluan kecemasan Hospital Segamat. Lina terus meluru keluar. Beberapa petugas Hospital berseragam putih membantu Lina... Alhamdulillah, Aiman diberi rawatan kecemasan. Lina bernafas lega. Suaminya di Kuala Lumpur juga lega pastinya. Emak Lina kelihatan masih risau. Saya? Saya menangis lagi, tetapi di dalam hati... Wahai pembaca Madah Muslimah Melayu, doakanlah Hazlina Hassan. Beliau telah mohon berpindah ke UiTM Shah Alam. Bulan April ini, mesyuarat akan dijalankan di Shah Alam. Saya fikir beliau layak berpindah. Dengan keadaan anak-anaknya yang sering tidak sihat, beliau patut tinggal serumah dengan suaminya. Jangan sampai ada kehilangan, baharulah lulus permohonan beliau... Ya Allah, permudahkan permohonan pindah Lina. Kasihanilah Lina dan suaminya. Mereka saling memerlukan demi kesihatan anak-anak mereka sendiri. Lembutkanlah hati pembuat keputusan yang membuat keputusan pindah Lina itu Ya Allah. Rabbi Yassir Wala Tu'assir...Satukanlah keluarga Lina kembali...

10 comments:

Sati said...

Salam kak..

Saya turut sama mendoakan yang terbaik untuk sahabat akak dan semua .. moga dipermudahkan segala urusan dan moga anak2nya akan sihat semula insyaAllah..Mungkin ada hikmahnya disebalik semua ini.. Amin Ya Rabbal Alamin..

Anonymous said...

Izinkan saya kongsi cerita adik iparku ini bersama ahli keluarga dan sahabat.

Anonymous said...

salam..mohon share

halimunanisasi said...
This comment has been removed by the author.
maria said...

puan...mungkinkah puan lina ini hanya jiran saya pada hari minggu (sebelah rumah mertua memandangkan saya pulang ke rumah mertua hujung minggu untuk ke kelazz)...

bile bererita dengan suami, suami gambarkan itu seolah-olah jiran sebelah rumah...kalau betul, subhanallah....sudah sekian lama, baru saya tahu peristiwa sebegini berlaku disebelah rumah....

moga puan lina terus tabah...

Kak Tini said...

Teringat tatkala anak2 akak sebaya anak2 lina..hospital jadi rumah kedua. Saban bulan, kekadang 3 orang sekali dalam satu bilik. Akak di Melaka, suami di KL. Faham sangat apa yang Lina lalui. Ani pun tau kan.
Sabaqla Lina..Allah uji sekarang sebab nak bagi kesenangan di kemudian hari. Bila anak dah besaq2 ni, macam tak percaya apa yang pernah akak lalui suatu masa dulu sudah berlalu.
Semoga Lina tabah dan terus mencari kekuatan untuk menjaga dan membesarkan anak2. Sabar ye...

p/s Ani, sampaikan salam untuk Lina ye.

indah said...

salam puan..sy doakan permohoan puan hazel diluluskan..sy turut bersimpati dgn ape yg berlaku..semoga ank2 nye kembali sembuh dan mereka dpt bersatu dlm sebuah keluarga..amiiinn :)
_kecik

Unknown said...

cemas sungguh baca...smoga urusan beliau lancar..

Anonymous said...

madam hazel, kami dari jac1103b minta maaf atas semua kedegilan kami dan kami semua doakan mdam sentiasa dirahmai-Nya.

aniisma said...

Salam semua yang memberi komen di sini, alhamdulillah anak Puan Hazlina telah kembali 'sihat' walaupun selepas keluar wad, masuk wad semula. Begitulah kehidupan beliau di Segamat. Semoga Puan Hazlina akan sentiasa tabah dengan ujian ini...