Thursday, January 7, 2010

Rabiah

Itu nama sebenar Rabiatul Adawiyah, seorang wali perempuan, wanita mulia yang disebut-sebut sebagai contoh kepada kaum muslimah. Beliau adalah anak ke 4, angka 4 dalam Bahasa Arab ialah Arba'ah. Nama beliau bermaksud empat. Adawiyah pula adalah nama keluarga atau gelaran keluarga ayahnya.

Saya sedang membaca buku terjemahan tentang beliau. Buku yang sangat menarik. Di beli di Pustaka Asma Segamat yang kini ada menjual karya sasterawan Faisal Tehrani :) Sebelum tidur, saya akan meluangkan 20-30 minit membaca buku atau majalah.

"Mama baca buku sebab nak bagi ngantuk ye? Mama tak boleh tidur ye?" tanya Along bila melihat saya menghidupkan lampu bacaan di meja sisi, bersebelahan katil.

Sambil membetul-betulkan bantal dan menarik selimut, saya mencari jawapan yang sesuai.

"Bukan sebab tu...Mama kan memang suka membaca, jadi sebelum tidur, mama perlu membaca, supaya apa yang mama baca boleh dijadikan panduan bila bangun esoknya. Mama baca buku tentang Rabiatul Adawiyah ni, bukan mudah nak jadi wanita macam dia."

Sebelum melelapkan mata, teringatkan suami di perantauan (JB) dan hati terus berkata-kata...

"Aku ada Allah, kasih Allah kasih sejati, sebagaimana kasihnya Rabiah kepada Allah sehingga menolak lamaran puluhan lelaki, seperti itulah sepatutnya kasih muslimah harus terbentuk. Semoga suami selamat di sana dan pandai menjaga diri."