Tuesday, April 22, 2008

Indah Gundah Melayu Islam

Puisi ini tidak sempurna. Banyak cacat cela. Tetapi ia lahir kerana kerisauan akibat kerenah segelintir pelajar-pelajar UiTM Johor yang memeningkan kepala. Akibat tingkah laku pelajar sekolah menengah yang berkeliaran sekitar kedai kopi pada pukul 7.45 pagi. Sepatutnya mereka harus bersekolah pada masa itu tetapi mereka kelihatan seronok bersembang sambil menghisap rokok. Kedegilan anak-anak sendiri juga turut merisaukan hati. Bimbang kerana mereka ialah pewaris bangsa. Bangsa Melayu. Bangsa yang sepatutnya kaya dengan nilai-nilai murni. Kerana Melayu Malaysia beragama Islam. Islam lengkap. Islam cantik. Islam menarik. Islam segala-galanya. Tapi, hari ini pergaulan begitu bebas. Tahap malu dalam diri semakin menghilang. Kes membuang bayi semakin menjadi-jadi. Anak-anak di rumah dibiar dengan dunia siber, mereka semakin menyendiri. Ibubapa semakin sibuk (diri sendiripun hanya ada masa yang begitu terhad dengan anak-anak). Saya perlu mecari web Ustaz Saiful Islam.Dengar khabar ustaz ini arif tentang hal pendidikan anak-anak.

Ya Allah, semoga 4 cahayamataku akan kekal berada dalam jalan yang lurus. Seoga pelajar-pelajar UiTM Johor juga tidak menyimpang ke jalan yang bengkok. Luruskanlah mereka Ya Allah.

Aku bersyukur dilahirkan Islam
Islamnya aku kerana kurniaan
Islamnya aku caturan Tuhan
Aku berbahagia menjadi Melayu
Melayunya aku kerana keturunan
Melayunya aku satu ketentuan

Islam itu agama nan indah
Islam itu petunjuk arah
Islam itu mampu mengubah
Islam itu janjinya mewah
Melayu ini pekerti budiman
Melayu ini berwajah rupawan
Melayu ini berakhlak sopan
Melayu ini hakikatnya menawan

Betapa besar nikmatMu Ilahi
Melayu Islam di tanah subur ini
Tidak tersungkur dikejar peluru senjata api
Tidak diancam bom ‘pejuang’ berani mati
Tidak kebulur krisis kepincangan ekonomi
Tidak tersepit pertelingkahan dua parti
Tidak terkubur di telan gempa bumi dan gunung berapi

Betapa agung takdirMu Rabbi
Melayu Islam di bumi bertuah ini
Terbang bebas seperti helang
Tiada takut tak perlu bimbang
Kocek berisi perut pun kenyang
Pemerintah adil ekonomi berkembang
Fakir miskin ramai yang sayang
HambaMu mampu bernafas tenang

Namun begitu wahai Tuhan
Melayu Islam di daerah damai ini
Semakin jauh dari landasan
Berlari pantas memintas ajaran
Melanggar meredah hukum peraturan
Asyik mengabdi tuntutan zaman
Lelaki perempuan tiada batasan
Sentuh bercumbu erat pelukan
Kain secebis hiasan badan
Singkat ketat jadi pujaan
Dadah dan arak jadi santapan
Musik hiburan dendang perasaan
Terheret terjelepuk dikaki syaitan
Cuai hanyut dariMu Tuhan
Karam dihanyut lautan perasaan


Aduhai Penciptaku Tuhan
Aku malu kerana Islam ini hanya pada nama
Melayu ini hanya pada rupa
Ikrar padaMu terus dikhianati
Ajaran Al Quran disisih ketepi
PerintahMu diabai rakus dicabuli
LaranganMu amalan setiap hari
Sunah NabiMu dipersenda diragui
Fatwa ulama dimusiumkan sepi
‘Nahi Mungkar’ tiada berfungsi
‘Amal Maaruf’ persoalan peribadi

Ya Rabbi Ya Rahman Ya Rahim
Kasihanilah kami, rahmatiah diri
Segelintir hambaMu, Melayu Islam di syurga dunia ini
Walau tidak rela namun tidak berdaya
Walau membara di dada, tiada berkuasa
Walau membenci tiada upaya
Hanya padaMu, kami berserta
Lindungi kami hingga akhirnya…

No comments: