Friday, February 19, 2010

Kata-kata mereka yang direka-reka

Beraninya mereka yang diciptaNya mempertikaikan hukum Allah.

Pesalah zina wanita yang disebat adalah satu kes diskriminasi kata mereka.

Undang-undang jenayah syariah bercanggah dengan undang-undang sivil kata mereka lagi.

Sebat pesalah zina dianggap melanggar hak asasi manusia kata mereka.

Hukuman sebat dikatakan zalim dan tidak berperikemanusiaan kata mereka juga.

Penyelidikan mengatakan hukum sebat bukanlah satu hukuman yang bersifat mencegah kata mereka lagi.

Kata saya:

  1. Adakah Allah telah mendrikiminasi wanita di dalam hukumanNya?
  2. Siapakah yang mengeluarkan firman tentang hukuman sebatan? Dan siapa pula yang membuat undang-undang sivil?
  3. Adakah hak asasi manusia itu diiktiraf sepenuhnya oleh Al-Quran?
  4. Zalim atau tidak adalah hak Allah. Jika sudah dinyatakan dalam Al-Quran, layakkah kita mengatakan hukuman sebat itu zalim? Layakkah?
  5. Adakah penyelidikan hukuman sebat ke atas pesalah zina pernah dibuat?

Berani sungguh mereka yang sanggup mereka-reka namun mengata-mengata Pencipta mereka.

Tuesday, February 2, 2010

Undang-undang apa lagi yang perlu?

Kanak-kanak adalah antara mangsa jenayah seks yang paling rapuh. Sudahlah tidak mengerti dengan apa yang dimaksudkan dengan kelakuan seks yang dilakukan ke atasnya, perbuatan keji tersebut selalu berulang dan berulang tanpa dapat dikesan.

Akta Kanak-Kanak 2001 mewajibkan seseorang pengamal perubatan yang memeriksa seseorang kanak-kanak dan disyaki telah dicabul, untuk membuat laporan polis. Dan inilah yang terjadi di Kuala Lumpur Khamis lepas. Hasil laporan doktor yang merawat, seorang kanak-kanak berumur 5 tahun didapati telah dicabuli sepupunya yang berusia 13 tahun. Ya Allah, sebaya anak sulung saya!!!! Kanak-kanak 5 tahun sudah mampu mengingati perkara-perkara penting dalam hidupnya. Dia akan hidup dalam memori tersebut. Kemungkinan trauma.

Saya menyalahkan teknologi dalam hal-hal malang seperti ini. Dan juga penyedia teknologi. Dan juga penguatkuasa yang memantau teknologi. Juga ibubapa yang memberikan telefon berkamera kepada anak-anak mereka. Masalahnya, kita ada cukup undang-undang. Namakan sahaja, Akta Komunikasi? Ada! Akta Kanak-Kanak? Ada! Kanun Keseksaan? Ada! Kita ada undang-undang yang cukup lengkap. Namun, mengapa masih berlaku kes-kes seumpama?

Apa yang kita tiada? Kita tiada ehsan terhadap kanak-kanak...dan 'kita' itu ramai jumlahnya dalam masyarakat. Pembunuh Nurin masih lepas bebas, penculik Sharlinie?

Doakan yang terbaik buat anak-anak kita..moga Allah melindungi mereka...

Sedang diuji

Allah sedang menguji saya sekarang.

Sejauh mana kebijaksanaan saya dan suami dalam mengatur pembelajaran anak sulung saya.

SMKA Segamat bukanlah jauh dari rumah. Namun, kerana ia adalah sekolah berasrama, semua pelajar wajib tinggal di asrama. Tiada sunat atau makruh.

Fadhli memang ada alahan pada cuaca terlalu panas atau terlalu sejuk. Dia akan semput atau sesak nafas. Kehidupan di asrama pula tidak pula seselesa rumah sendiri. Dia meragam. Dia menelefon saya 5 ke 6 kali sehari. Waktu panggilannya telah dapat diduga. Pukul 5.45 pagi, 6.45 pagi, 5 petang, 6 petang, 10 atau 10.45 malam. Suaranya sayu. Kadang-kadang menangis. Kadang sampai tidak mampu bercakap dek kesedihan.

Kenangan di SMKA SHMS Seremban 20 tahun lepas kembali mengusik hati ini. Apa yang saya lalui dulu sedang dialami anak saya kini. Saya tidak betah tinggal di asrama. Tapi tak bolehlah tulis di sini lebih-lebih sebab nanti dia baca dan kata, ha! mama dulu pun sama jugak, like mother like son what???

Keadaan dirinya yang cepat penat kerana jadual waktu sekolah dan asrama yang padat, dijadikan alasan untuk menelefon mamanya dan dengan nada sayu berkata, mamaaa Along nak balikkkkk...

Saya memilih SMKA kerana beberapa sebab.
  1. Persekitaran yang tentu lebih islamik, solat lima waktu secara berjemaah, tazkirah dan membaca Al-Quran secara konsisten.
  2. Ia adalah sekolah bestari.
  3. Melatih anak berdikari dan berkomunikasi.
  4. Jadual waktu yang lebih tersusun, ada waktu prep dan bersukan.

Namun nampak gayanya, dia tidak begitu serasi dengan keadaan itu.

Sebagai ibu, saya akui, saya tidak cukup kuat dengan rayuan anak-anak. Saya lemah. Saya inginkan yang terbaik untuk mereka namun bila mereka mula menunjukkan keadaan yang negatif, saya mula berfikir semula apakah tindakan saya itu betul.

Saya dalam dilema, dan ini antara ujian Allah yang agak berat untuk ditanggung hati dan perasaan. Alahai, lemahnya saya...