Wednesday, March 24, 2010

Bicara Pagi dan Cuci Kereta

Dalam kelam pagi, kami telah menaiki kereta Ustaz menghala ke sekolah. Alot, anak ke dua ustaz di kerusi depan sebelah ustaz. Kak Thahirah, anak sulung Ustaz, arwah kak long dan saya di kerusi belakang. Masuk sahaja ke dalam perut kereta, suasana sunyi sepi. Ustaz yang berwajah garang tidak menoleh-noleh lagi, pandangannya lurus ke hadapan. Kadang-kadang Ustaz membebel. Marahkan sesuatu yang terjadi di rumahnya sebelum perjalanan pagi. Kadang-kadang Ustaz mengaji. Memecahkan suasana sepi. Namun, tiada perbualan antara kami, penumpang pagi. Itu senario semasa dalam perjalanan ke sekolah menumpang kereta Ustaz jiran sebelah rumah 20-30 tahun sudah.

Kini, telah lebih 12 tahun, saya menjadi pemandu bagi anak-anak saya. Diam semasa memandu adalah perkara biasa. Radio menjadi teman setia. Kadang IKIM, kadang Sinar, kadang Klasik. Memang sesuai dengan umur. Namun, bila berdiam, mood anak-anak tidak ceria. Sampai ke sekolah, bersalaman, buka pintu kereta, ambil beg di boot, lambai bai-bai mama, bai bai...dan saya akan memandu terus ke pejabat. Ada yang bermuka kelat ditinggalkan. macam tidak puas hati.

Pagi tadi, saya buntu. Perasaan bercampur baur. Ada masalah? Biasalah, semua itu asam garam sebuah kehidupan. Tiba-tiba sahaja saya terkenangkan senario berdiam diri di dalam kereta Ustaz. Kami agak tertekan ketika itu. Atau saya sahaja berperasaan begitu? Mungkin! Saya mencari-cari ide bagaimana untuk menceriakan suasana. Saya perlu berbicara dengan anak-anak yang sedang leka dibuai perasaan yang entah apa. Ternampak di tepi jalan sebuah kedai mencuci kereta yang berdinding warna hitam dan dilakari gambar haiwan termasuk monyet. Saya mendapat ide.

"Alang, kalau mama nak cuci kereta, mama tak nak cuci kat kedai ni"

"Kenapa?"

"Nanti, tengok-tengok keluar monyet cucikan kereta mama, nanti melompat-lompat atas kereta, kuku dia tajam, nanti habis calar kereta ni."

Hahahahaha..

Pagi ini, senyuman lebar menghiasi wajah anak-anak yang melambai-lambai. Mereka masih terbayangkan bagaimana monyet mencuci kereta mama. Saya pula memandu ke UiTM dalam keadaan yang tenang kerana telah bergelak ketawa dengan anak-anak, cuma untuk sebuah lawak jenaka yang akan dibakulsampahkan andai masuk pertandingan Raja Lawak.

Friday, March 19, 2010

Hadiah

Sehelai tudung hijau diterima daripada seseorang yang suka memberi. Bukan setakat pemberian material, namun ilmu yang dimiliki turut dikongsi. Saya kagum dengan insan mulia ini. Saya doakan beliau dirahmati kehidupannya bersama keluarga tercinta hingga ke syurga.

Beliau berkreatif dalam berbicara. Serampang dua mata. Biar syariat terpelihara. Simpulan keluarga terjaga.

Kita pandai berbicara kepada orang luar tetapi dalam lingkungan keluarga sendiri, lidah kelu tidak terucap. Takut dilabel 'terlebih-lebih'.

Minggu sudah, ketika makan sekeluarga, saya bercerita dengan adik-adik tentang rahmat Allah. Bertuahnya kita andai Allah memberi rahmat kepada kita selamanya. Tahap iman yang ada bergantung pada masa dan keadaan. Firdaus, the only son in the family menambah betapa bertuahnya juga Si Pemberi Hadiah Tudung Hijau tadi kerana rahmat Allah datang kepadanya dalam keadaan dirinya sekarang. Firdaus lelaki yang sedang meningkat usia. Tercari-cari bakal suri. Pilihan hati sebelum ini cantik menawan. namun entah mengapa, hubungan tidak kekal lama. Emak risau dengan hubungan Daus. Saya mengerti kerisauan emak. Lantas dia berkata kepada emak, 'doakan adik, insyaAllah doa emak didengar dan dirahmati Allah'.

Ringkas bunyinya. Doa emak termakbul dan mungkin dirahmatiNya.

Hadiah hebat dari Allah.

Hujan

Dari pejabat ke bilik kuliah tidaklah jauh sangat, hanya 6-7 minit berjalan kaki. Namun, saya memilih untuk memandu. Sebaik enjin kereta dihidupkan, tombol pendingin hawa terus diputar. Terik mentari Segamat membakar fizikal dan mental. Semasa memandu, saya suka melihat tompakan awan putih di langit biru. Namun, merenung awan sekarang tidak sebahagia dahulu. Panahan cahaya panas menundukkan pandangan mata. Sudah berminggu-minggu hujan tidak singgah membasahi bumi Segamat. Jika tepat ingatan ini, hujan terakhir ialah pada cuti Tahun Baru Cina. Dan semalam, sekitar 3.45 petang, hujan turun setelah rombongan awanan kelam menyelubungi langit Segamat. Dari Bilik Rehat Pensyarah ke pejabat, saya hampir berlari. Saya ingin membuka jendela dan merenung deraian butiran air yang akan membasahi daunan pohon mangga yang tegap meninggi di belakang kamar. Rupanya, impian tidak jadi kenyataan. Dalam masa beberapa minit sahaja, hujan seakan merajuk. Melarikan diri ke tempat lain barangkali. Saya merenung hampa kesan basah hujan di kelopak daunan mangga.

Emak bilang Serendah sering hujan terutama sebelah petang membawa ke Maghrib. Betul! Setibanya saya dan anak-anak ke Serendah petang itu, terus saya bergegas solat. Saya melangkah lesu ke ruang tamu rumah. Duduk bersebelahan emak yang sedang berbaring mengadap peti tv. Diusia sebegini, rancangan berbentuk agama memang menjadi pilihan hati emak. Saya merenung keluar melalui pintu kayu yang terbuka luas. Merenung sepohon mata kucing yang sedang lebat berbunga. Kasihan abah, tidak sempat merasa hasil tanamannya. Semoga buah-buahan syurga menjadi gantinya. Tiba-tiba sahaja deraian hujan turun dengan lebat. Titisan air hujan keras kedengaran menghempap bumbung. Segera saya berlari anak menuju ke ruang rehat luar yang menempatkan sebuah meja bulat dan empat kerusi mengelilinginya. Saya renung hujan dalam-dalam. Terasa rindu pada hujan. Andai sahaja umur sekarang sebaya dengan anak bongsu, sudah pasti saya melompat-lompat kesukaan dan membiarkan diri ditimpa hujan. Cukup puas hati ini menikmati dingin udara Serendah. Hujan berhenti apabila seruan azan Maghrib berkumandang.

Bumi UiTM Johor tidak terik pagi ini. Tidak juga hujan.

Hidup diteruskan.

Thursday, March 11, 2010

Taranum, indahnya Al-Quran

Apabila Syarifah Khasif mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran di Masjid As-Syakirin UiTM Johor malam semalam, suasana terasa sungguh damai, tenang...Sukar digambarkan melalui kata-kata.

Lenggok alunan ayat-ayat suci tersebut sungguh menyentuh hati. Saya pasti semua yang hadir tentu 'hilang' dalam 'asyik'nya mendengar bacaan oleh Juara Qariah Tilawah Al-Quran, peringkat Antarabangsa yang ke 51 tahun lalu. Lebih bagus lagi kalau kita memahami maknanya. Andai sahaja memahami, pasti air mata akan mengalir dek kesedihan atau kegembiraan. Sedih takkala Allah memberi gambaran murkaNya kepada makhluk bernama manusia yang tahu hukum tetapi mendengar bisikan syaitan yang melalaikan. Gembira pula apabila mendengar janji-janji Allah kepada hambaNya yang berusaha bertakwa sepanjang detik dan ketika. Kita pasti tersenyum kepuasan apabila memahami surah-surah yang menjanjikan balasan Syurga yang begitu banyak digambarkan Allah. Kita berusaha untuk kekal konsisten menjadi kita yang lebih baik.

Lalu membaca surah-surah dengan bertaranum menjadikan kita manusia yang cinta Al-Quran. Itu yang dapat dilihat malam semalam. Warga pelajar UiTM Johor cintakan bacaan Al-Quran secara bertaranum. Namun, apa yang lebih penting, pengetahuan tentang tajwid perlu dipelajari terlebih dahulu.

Indah sungguh Al-Quran.

Wednesday, March 3, 2010

Repot Polis?

Anak ketiga saya pernah dicubit gurunya. Mungkin kuku guru tersebut agak panjang, cubitannya mungkin agak kuat, geram barangkali, kulit kawasan yang dicubit terkopek sedikit dan berdarah.

Saya agak terkejut, agak kasihan dengan anak, agak terasa dengan guru tersebut. Saya berfikir dahulu sebelum bertanya suami tentang apa tindakan yang patut diambil.

"Anak kita mungkin nakal masa di kelas, guru pula mungkin penat, keadaan dalam kelas mungkin agak panas, murid-murid mungkin agak bising, jadi guru mencubit dengan perasaan agak geram..." kata suami.

Jadi, kami diamkan sahaja perkara itu dan menasihatkan anak kami supaya jangan nakal di dalam kelas, buat semua kerja sekolah, jangan melawan nasihat guru, hormat guru, kasih guru.

Anak itu juga pernah bergurau di dalam kelas. Pensil warna merah jambu yang baru di asah kawan dicucuk di atas tapak tangannya. Mereka bergurau. Tiada guru di dalam kelas pada waktu itu. Tiada kakak atau abang darjah enam yang mengawasi kelas. Murid-murid dibiar tanpa pengawasan.

Anak bertuah itu pulang ke rumah. Dia menunjukkan tapak tangannya yang membengkak. Apabila saya picit di kawasan yang bengkak itu, keluar nanah berwarna merah jambu. Warna itu sungguh menawan hati. Terpaksa dibawa ke klinik. Kawasan tersebut terpaksa dibelah sedikit untuk dikeluarkan segala nanah yang bermaharajalela.

Saya terus berjumpa Guru Besar keesokannya. Saya berbincang dari hati ke hati tentang tanggungjawab sekolah untuk menjaga keselamatan murid-murid tanpa guru di dalam kelas. Murid-murid perlu diawasi. Memadailah dengan menempatkan pelajar yang lebih dewasa supaya kelas dalam keadaan terjaga sekurang-kurangnya. Kecuaian membawa padah. Guru memegang tugas menjaga keselamatan murid dalam kawasan sekolah. Guru Besar menerima dengan hati terbuka.

Saya tidak perlu 'repot' polis.