Assalamualaikum wbt
Blog ini akan berHIBERNAT buat satu tempoh yang tidak dapat dipastikan.
Terima kasih atas perhatian, pandangan dan cetusan rasa pengunjung tetap blog ini.
Rabbana atina fid dunia hasanah wafil akhiratil hasanah waqina 'azaaban naar.
Curahan perasaan hati seorang wanita Melayu Islam, sebagai panduan dan ingatan buat diri sendiri yang masih terlalu kerdil dan hina di sisi Tuhan Yang Maha Esa Maha Mulia.
Saturday, April 23, 2011
Saturday, April 9, 2011
Ke Hospital Segamat Lagi...
Semalam, 8 April 2011, tarikh yang akan dikenang selagi hayat dikandung badan. Hazlina Hassan, pensyarah Fakulti Perakaunan, adalah antara rakan rapat saya. Suaminya di Kuala Lumpur. Telah hampir 3 tahun tidak tinggal sebumbung. Weekend couple. Anak-anak mereka, Sofea, Aisyah dan Aiman sungguh comel. Namun, kesemua mereka mempunyai masalah kesihatan. Sering pula bermalam di wad Hospital Segamat. Kasihan... Jumaat, 8 April 2011, pukul 2 petang, Lina menelefon saya. Ingin menumpang kereta pukul 2.40 petang nanti. Kami ada mesyuarat akademik. Semasa dalam perjalanan ke UiTMJ, barulah dia memberitahu sebab sebenar kenapa dia tidak dapat memandu sendiri. Dia keletihan rupanya. Aisyah telah 3 malam ditahan di wad Hospital Segamat. Lelah dan viral fever. Saya kata padanya, laaa tak bagitahu kak Ani pun. Dia menjawab, dah selalu sangat masuk wad kak...Sekarang ni Aiman pulak dok demam, sambung Lina lagi. Usai mesyuarat, kami minum petang dahulu. Lina hanya minum. Mungkin tiada selera memikirkan Aiman di rumah yang dijaga emaknya yang baharu sahaja sampai dari Perlis semata-mata untuk membantu Lina menjaga 3 anaknya yang sering tidak sihat. Tiba-tiba handphone Lina berbunyi. Dan sejurus selepas itu, dia yang berwajah cemas memandang saya, Kak Ani, kita kena balik sekarang, Aiman menggigil teruk. Saya memandu ke Taman Bunga Raya dengan kelajuan agak maksimum. Lina di sebelah kelihatan sangat cemas. Ini pertama kali Aiman diserang demam yang agak luar biasa. Sampai sahaja di rumahnya, Lina seolah-olah melompat keluar dari Saga saya, dicampaknya tas tangannya ke dalam Wajanya yang sedia terpasang enjin untuk terus bersedia ke Hospital Segamat. Saya mengekori Lina. Di ruang tamu, Aisyah yang belum lagi kebah sepenuhnya berbaring di atas sofa sambil merengek. Aiman duduk melunjur kaki, berbogel. Opahnya mengelap badan Aiman dengan tuala basah. Dan tibalah saat yang sangat mencemaskan dalam hidup saya. Tiba-tiba sahaja, Aiman terlentang ke belakang dengan mata tertutup. Emak Lina menjerit mengarahkan Lina mendukung Aiman ke bilik air. Dijirusnya Aiman dengan air shower. Lina yang mendukung Aiman turut lecun. Saya membantu Lina memegang Aiman. Saya turut basah. Mata Aiman masih terpejam. Badannya longlai. Lina memanggil-manggil nama Aiman. Aiman, Aiman, bangunlah, kenapa buat mama macam ni..Aiman, bangunlah nak...bangun. Saya jadi sayu dengan rayuan Lina. Airmata saya tumpah juga akhirnya mendengar rayuan Lina yang tidak berhenti-henti memanggil nama Aiman. Dipeluk erat anaknya yang seakan pengsan sementara emak Lina kelam kabut menjiruskan air ke seluruh badan cucu lelakinya itu. Dalam keadaan yang mencemaskan itu, saya menyuruh Lina segera ke Hospital. Segera! Lina keluar dari bilik air mendukung anaknya yang masih longlai. Lina yang lecun kebasahan tiba-tiba tergelincir. Kepalanya terhantuk ke lantai. Namun, Aiman yang didukung terselamat kerana erat dipeluk Lina. Lina pantas bangun seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak sakit. Ya Allah, hati wanita saya tersentuh lagi. Saya menangis...Yang keluar dari mulut Lina ialah, Alhamdulillah, kepala mama yang terhantuk, bukan kepala anak mama........ Saya memandu ke Hospital Segamat. Lina di sebelah saya, meriba Aiman. Emak dan adik Lina tinggal di rumah dahulu bagi menguruskan pakaian dan keperluan Aiman di Hospital nanti. Di dalam Saga, Lina memanggil-manggil nama anaknya dengan nada yang sangat sayu. Aiman, bangun sayang, bangunlah, janganlah takutkan mama, bangun nak...Aiman sayang mama kan...Rabbi Yassir wala Tu'assir, sesekali doa tersebut keluar dari mulutnya. Saya memasang double signal. Memandu 120-130km sejam. Jalan ke Hospital Segamat petang itu agak sibuk. Maklumlah pukul 5 petang. Waktu keluar pejabat. Dalam keadaan begitu, trafic light Segamat tidak banyak membantu pemanduan saya. Namun, ada juga pemandu yang terperasaan kerdipan double signal Saga saya lalu memberi ruang untuk Saga maju ke hadapan. Akhirnya sekitar 5.30 petang kami tiba di perkarangan laluan kecemasan Hospital Segamat. Lina terus meluru keluar. Beberapa petugas Hospital berseragam putih membantu Lina... Alhamdulillah, Aiman diberi rawatan kecemasan. Lina bernafas lega. Suaminya di Kuala Lumpur juga lega pastinya. Emak Lina kelihatan masih risau. Saya? Saya menangis lagi, tetapi di dalam hati... Wahai pembaca Madah Muslimah Melayu, doakanlah Hazlina Hassan. Beliau telah mohon berpindah ke UiTM Shah Alam. Bulan April ini, mesyuarat akan dijalankan di Shah Alam. Saya fikir beliau layak berpindah. Dengan keadaan anak-anaknya yang sering tidak sihat, beliau patut tinggal serumah dengan suaminya. Jangan sampai ada kehilangan, baharulah lulus permohonan beliau... Ya Allah, permudahkan permohonan pindah Lina. Kasihanilah Lina dan suaminya. Mereka saling memerlukan demi kesihatan anak-anak mereka sendiri. Lembutkanlah hati pembuat keputusan yang membuat keputusan pindah Lina itu Ya Allah. Rabbi Yassir Wala Tu'assir...Satukanlah keluarga Lina kembali...
Monday, March 28, 2011
Pencinta Buku
Duit RM100 yang saya simpan sejak bulan lepas masih kemas terlipat dan terselit di dalam dompet. Ia adalah untuk tujuan kecemasan dan keperluan. Kebetulan berlangsung Pesta Buku Segamat. Buku ialah keperluan bagi saya bukan kemahuan. Janji sejak Sabtu lepas saya penuhi dengan membawa anak-anak ke sana. Selepas hampir sejam membelek buku-buku yang berkenan di hati, kami ke kaunter bayaran. RM65.70 kesemuanya. Alhamdulillah ada baki. Saya bawa anak-anak ke Kedai Makan Rohaya bersebelahan Dewan tempat Pesta berlangsung.
Inilah antara buku-buku yang telah dibeli. Fatihah seperti biasa teruja dengan novel karya Ain Maisarah. Farhan seperti biasa juga keliru untuk memilih antara 3 ke 4 novel. Lalu saya yang membuat pilihan untuknya. Fahim dan Fadhli lebih cenderung kepada novel penyiasatan. Saya pula keliru untuk memilih buku panduan jahitan baju kurung atau buku masakan. Kekecewaan menghantar kain ela 14 meter kepada seorang tukang jahit tahun lepas masih berbekas di hati. Jahitannya sungguh mengecewakan. Sejak Kak Mah Taman Dedap berehat dari menjahit, saya jenuh mancari tukang jahit lain. Saya terlihat buku Panduan A-Z Menjahit Baju Kurung. Setelah berfikir kurang panjang, saya capai sebuah. Saya berhenti di meja lain. Ternampak pula buku Senangnya Memasak karya Chef Hanieliza, maka kekeliruan antara jahitan dan masakan menerpa minda. Setelah berfikir agak panjang dalam keadaan bajet RM100, saya memilih buku masakan sebab anak-anak saya pemakan yang hebat. Masa untuk menjahit pula dilihat agak mustahil dengan keadaan diri saya yang hangat-hangat tahi ayam dalam sesetengah perkara.
Di dalam kereta semasa perjalanan pulang, mereka mula membaca. Alhamdulillah, saya dan anak-anak mencintai buku. Semoga tabiat ini berkekalan ke akhir hayat.
Pecinta Buku
Mari neneroka dunia baru
Dunia ilmu...
Saturday, March 26, 2011
Tahniah SRAB Segamat
Tahniah kepada ustaz-ustazah SRAB Bukit Siput yang berpenat jerih melatih wakil-wakil sekolah sehingga menjuarai kejohanan sukan seluruh Johor 2011. Usaha keras mereka selama ini berbaloi dan berbayar!
Mama bijak
Lagi cerita tentang anak-anak.
Pagi ini, Farhan ada perlawanan bola sepak antara SRAB seluruh Johor. Bertempat di SM Teknik Segamat. Dia perlu sarapan. Nasi dan kangkung goreng belacan semalam berbaki. Saya adunkan keduanya menjadi nasi goreng kangkung belacan. Roti putih Gardenia hampir tarikh luput. Saya 'french toast'kannya. Saya tabur serbuk lada sulah untuk meng'asia'kan french toast saya.
Fadhli dan Farhan turun bersarapan. Farhan ketepikan kangkung dari nasi. Fadhli pula hanya makan secubit roti. Kurang sedap roti ini katanya. Saya perlu bijak meyakinkan mereka dengan resepi sarapan saya pagi ini.
"Kangkung menambah tenaga dan menenangkan jiwa. Lada sulah pula menghangatkan badan dan meninggikan stamina. Elok untuk Along dan Angah pagi ni..."
Farhan segera menarik semula kangkung yang diketepikan tadi dengan sudunya. Masuk mulut dengan penuh yakin.
Farhan, moga menang 4-1...

Thursday, March 24, 2011
Pelangi, kau ceriakan pagiku
Subuh tadi, saya agak emosi dan dramatik. Ia bermula dengan tindakan Farhan yang santai berbaring menonton Oasis sedangkan jam sudah pukul 6.30 pagi. Fadhli pula kelihatan sangat mengantuk kerana tidur lewat gara-gara menyiapkan projek matapelajaran Agama. Sepatutnya amanah tersebut telah disiapkan semasa cuti seminggu namun 'berkat' kelalaian dan kecuaian saya, amanah itu terabai. Fahim masih terbaring di atas katil dengan bantal empuknya. Fatihah lena. Badannya masih dedar.
Allah mengingatkan saya sedetik tentang solat. Betapa saya lalai dan cuai dalam mendisplinkan anak-anak tentang kepentingan solat. Saya terus mencari rotan. Saya teringatkan hadis Nabi Muhammad s.a.w tentang keperluan rotan demi solat untuk anak-anak yang telah mencapai umur 10 tahun. Saya rasa saya perlu merotan mereka kecuali Fatihah. Rotan gagal ditemui. Segera saya menelefon suami di Johor Bahru. Kali terakhir saya melihat rotan tersebut ialah ketika suami menakut-nakutkan Fahim yang sedang asyik dengan lenanya beberapa hari sudah. Suami juga gagal menjawab. Saya jadi tertekan. Saya turun ke tingkat bawah untuk menyediakan sarapan ringkas. Hati saya pedih.
Di dalam perjalanan ke sekolah, saya diselubungi rasa sedih yang amat. Ayat-ayat ini akhirnya keluar dari mulut saya..
"Kenapa anak-anak mama ringankan solat? Mama dah ajar anak-anak mama solat. Mama dan abah hantar ke sekolah agama. Setiap kali lepas solat, mama doakan anak-anak mama jadi anak-anak yang menjaga solat. Masa mama tawaf keliling Kaabah dulu, itulah doa mama sentiasa. Setiap sujud terakhir solat hajat di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi, itu jugalah doa mama. Mama takut andainya mama biarkan anak-anak mama leka dari solat, mama dan abah tak dapat masuk syurga..." Semasa saya mengucapkan ayat terakhir tersebut, getar tangisan sudah kedengaran. Saya sambung lagi.
"Mungkin nanti masa mama dan abah nak melangkah masuk ke syurga, tiba-tiba kami ditahan..dan Allah berkata, kamu suami isteri tak boleh masuk lagi. Singgah neraka sekejap sebab kamu tidak menjalankan tanggungjawab kamu mendidik anak kamu solat. AmanahKu kamu khianati..." Saya menangis di hadapan anak-anak.
Kami sampai ke sekolah Fadhli. Fadhli keluar dari kereta. Bersalaman. Saya pandu kereta ke Bukit Siput pula. Sampai sekolah mereka. Farhan, Fahim dan Fatihah keluar dari kereta. Bersalaman tanpa ciuman. Saya memandu menghala UiTM. Perasaan masih pedih.
Saya perlu mengubah sesuatu. Agar hidup kami sekeluarga dipanjangkan ke syurga. InsyaAllah. Ia satu perjuangan...Dalam kesedihan, saya terpandang jaluran pelangi di hadapan. Subhanallah. Ia sungguh cantik. Sangat sempurna. Sungguh melekakan. Saya kembali tersenyum. Ya Allah, pelangikanlah kehidupan kami sekeluarga selepas ini....
Pelangi, kau ceriakan pagiku...

Thursday, March 17, 2011
Abah Pulang ke Pangkuan Allah
Khamis lepas, 10 Mac 2011, 4 jam sebelum pemergian Abah, saya menulis tentang kesihatan Abah yang beransur pulih. Pada pukul 3.45 petang Khamis yang sama, ketika sedang menghabiskan kuliah kepada pelajar Pengurusan Perniagaan, saya mendapat panggilan sedih..Abah tenat. Pukul 3.50 petang, masuk lagi panggilan..Abah telah pulang ke pangkuan Allah......
Kini telah 8 hari Abah meninggalkan kami dengan seribu kenangan manis dan baik-baik sahaja tentang perjuangan kelangsungan hidup Abah di Sg Sumun, Perak. Abah, menurut suami, tidak pernah meninggalkan solat, Abah menurut Nyah tidak pernah memukul anak-anak, Abah menurut emak tidak pernah meninggikan suara terhadapnya, Abah menurut saya seorang lelaki yang gigih, tabah dan terbaik dalam hidup kami sekeluarga...
Abah, semoga tenang di persemadian abadi, di sisi Ilahi...

Subscribe to:
Posts (Atom)