Tuesday, April 21, 2009

Kelangsungan Bangsa

Ibnu Khaldun pernah berkata...

"Jika Allah hendak meruntuhkan suatu bangsa, maka Allah akan membiarkan penduduk bangsa itu melakukan perbuatan-perbuatan tercela dan menelusuri jalan-jalan keburukan, sehingga hilanglah keutamaan politik daripada mereka sama sekali. Mereka akan terus mundur hingga hilang kekuasaan daripada tangan mereka dan beralih ke bangsa lain. Kajilah bangsa-bangsa besar dalam sejarah, anda akan membuktikan kebenaran ucapan kami ini."

Malaysia, 2009, bangsa Melayu sering dikaitkan dengan najis dadah (rujuk statistik Agensi Dadah Kebangsaan), jenayah sosial (rujuk kes-kes di Henry Gurney), mengandung luar nikah dan murtad (rujuk kes-kes di Raudhatus Sakinah dan pusat penjagaan wanita seumpama) dan puluhan perbuatan tercela lagi.

Mampukah bangsa Melayu di bumi Malaysia ini meneruskan kelangsungan mereka?Kelangsungan yang penuh bermaruah. Panglima Hang Tuah pernah berkata takkan Melayu hilang di dunia.

Bak kata Nabil Raja Lawak (yang mempertahankan tindakan terpeluk buah hatinya bak berada di malam Grammy Awards) Anda Fikirlah Sendiri...

Saidian Ali Abi Talib pernah berkata

"Orang yang hanya berfikir untuk sesuatu yang masuk ke dalam perutnya (makanan dan minuman) maka nilai orang itu tidak lebih daripada sesuatu yang keluar dari perutnya (najis)"

Langganlah majalah Solusi!

Monday, April 20, 2009

Musim Hibernat Sudah Kembali



Sebentar tadi, pelajar-pelajar Investment selesai berjuang menjawab LAW 374.


Alhamdulillah, khabarnya masing-masing tidak cukup masa. Petanda baik!


Sekarang, bermula pukul 3 petang, perjuangan saya pula bermula.


Wahai pelajar semua, berdoalah selepas berusaha. Tawakal pada DIA!


Musim hibernat sudah kembali...

gambar ehsan internet

Sunday, April 19, 2009

Minat anak-anak

Semenjak pandai membaca pada usia 5 tahun, Almi Fatihah (anak bongsu setakat hari ini) sangat minat pada buku. Sekarang, Fatihah sudah berusia 8 tahun. Sangat cekap membaca dan faham apa yang dibaca. Sekarang, dia sedang menekuni buku motivasi karya Dr Noraini Ahmad. Apabila ditanya tentang cita-cita, dia akan yakin menjawab, kakak nak jadi cikgu...

Oklah tu, tak nak jadi Pensyarah? tanya saya.

Dia akan geleng kepala dengan tegas. Bila ditanya kenapa, dia tersengih. Apalah agaknya yang dia nampak dari mamanya sehingga enggan menjadi pensyarah...

Yang ke dua(paling kanan), suka menyanyi. Dia cepat hafal lirik dan suka bergendang. Almi Farhan agak lambat membaca. Bacaan adik beradik lain sudah mencecah halaman 30, dia baru halaman 12. Dan berehat seketika apabila selesai satu mukasurat. Suka bergaya. Gel Code 10 akan sentiasa disapu di rambut. Bila nak ambil wuduk, dia kata..alaaa mama, habislah Code 10 Angah...

Sekarang musim Angah menyanyi. Khabarnya, dia jadi penyanyi solo kumpulan nasyidnya. Sampai serak-serak suara Angah. Dan kadang-kadang dinasyidkan lagu-lagu pop masa kini. Saya biarkan saja minat anak yang seorang ini. Namun dalam hati berdoa, janganlah ikut jejak Faizal Tahir, Faisal Tehrani tak apa!
Kembali merenungi minat anak-anak, saya pasti cabaran ibubapa kini tentu sangat berat. Terkadang minat mereka tidak selaras dengan tuntutan Syariah. Bagaimana cara kita menangani cabaran ini?
Dan minat Along (makan nasi) merisaukan saya...

Cabaran Cari Bahan

Semalaman saya tercari-cari bahan untuk tajuk PhD. Sebelum 40, saya mesti mendaftar. Walau kurang yakin dengan kemampuan diri, saya tetap berminat. Anak-anak yang sedang membesar sering menjadi alasan saya. Namun, minat yang ada itu tetap saya pupuk sikit-sikit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Suami selalu bagi semangat. Namun, diri sendiri kadang timbul kadang lemas.

Prof Madya Datin Nor Aziah Awal mendorong saya membuat penyelidikan tentang undang-undang kanak-kanak. Namun, Dekan Fakulti kata ia bukan bidang utama. Ramai kata cari tajuk yang kita minat kerana akhirnya minatlah menjadi penguat dan pendorong tamatnya satu-satu penyelidikan.

Dalam carian semalam, saya terjumpa maklumat tentang 'master' saya semasa chambering. Aduhai, rupanya beliau sekarang telah bergelar Dr. Saya cemburu bercampur bangga. Saya doakan beliau terus berjaya dengan kerjaya Pesuruhjaya Kehakimannya sekarang.

Kemudian, terbaca pula komen Dr Zaidi di blognya tentang 'proposal' beberapa calon PhD.

"...Paling ketara ialah isu kajian yang mana calon PhD tidak dapat menghubungkannya dengan masalah kajian. Ada sebahagian tajuk kajian tidak menepati taraf PhD. Maka saya ingin simpulkan bahawa, calon PhD perlu mengetahui bahawa tajuk kajian PhD bukan seperti tajuk kajian biasa dan ianya memerlukan ketelitian serta ilmu mengenai penyelidikan..."

Ilmu penyelidikan bukan datang dalam tempoh sebulan dua atau semester dua. Itu yang pasti!

Saya berdoa agar minat yang ada ini tidak akan terkubur. Kerana apabila anak meningkat dewasa, cabaran akan lebih besar.

Menu Kedai

Hanya pada hari minggu saya dapat masak makanan yang agak renyah penyediaan bahan-bahannya. Isnin hingga Jumaat, hanya lauk ringkas menjadi santapan putera puteri yang makin kuat makan. Terkadang (terselalu) lauk kedai menjadi lauk penyelamat buat mereka yang kelaparan di rumah.

Tadi, 'mood' memasak agak baik. Ikan siakap dan ayam dikeluarkan dari peti sejuk. Saya telah arif selera anak-anak. Andai sesekali keluar makan, apabila ditanya pembantu kedai tentang pesanan, mereka akan menjawab 'lauk biasa'. Inilah lauk-lauk yang biasa dipesan. Hari ini saya memasak ala kedai. 3 4 kali mereka menjenguk ke dapur. Aroma masakan menguji kesabaran.

Ayam goreng kunyit

Siakap tiga rasa


Tom Yam ayam
Mujur kali ini, bahan-bahan penyedap masakan ada tersimpan dalam peti sejuk. Ayam goreng kunyit tanpa daun kunyit kurang menyelerakan. Tom Yam tanpa serai dan daun limau purut kurang menyengat. Siakap tiga rasa tanpa cili api dan tomato kurang sempurna.
Baru saya tahu, serai ada 50 jenis. Yang biasa digunakan dalam masakan ialah serai peha ayam dan serai gajah. Namun yang pasti serai, kunyit, daun limau purut, cili api adalah bahan masakan yang ada fungsi dalam perubatan. Teringat bagaimana tiga pagi dikala tempoh awal pantang, emak di Serendah menyediakan pati ibu kunyit untuk ditelan cepat-cepat. Memang menyeksakan. Daun serai wangi direbus bersama halia buat mandian pagi.
Walaupun makan hari ini banyak yang goreng-goreng, namun kehadiran bahan-bahan tersebut dapat meyakinkan hati sendiri tentang khasiat menu ala kedai.


Saturday, April 18, 2009

Kanak-kanak dan Pembantu Rumah

Tiga empat kali saya mendapat emel tentang kebiadapan pembantu rumah ke atas anak-anak majikan. Disertakan video clip yang membuat saya marah, benci dan tentunya sedih. Betapa anak kecil yang tidak mengerti apa-apa ditendang, dipijak, dipukul dan dicubit. CCTV yang dipasang di dalam rumah menjadi bukti perbuatan kejam mereka.

Saya kembali mengingati 3 bibik Indonesia yang pernah berkhidmat dengan saya sebelum ini. Saya anggap mereka seperti pembantu profesional. Saya menghindari diri daripada memarahi mereka tanpa sebab. Saya memberi tunjuk ajar menggunakan bahasa mudah. Saya benarkan mereka makan apa yang ada. Sesekali saya bawa mereka bersiar-siar. Saya benarkan mereka tidur sebentar sebelah petang. Saya fikir saya majikan yang munasabah. Mereka menghormati saya dan masih boleh berkongsi perasaan dengan cara yang munasabah juga. Hasilnya, tidak pernah sekalipun, anak-anak saya dipukul, ditendang, dipijak dan dicaci. Walaupun saya tiada cctv tapi apabila saya pulang ke rumah, anak-anak saya akan bercerita macam-macam. Bibik ajar nyanyi lagu Indonesia, Bibik cerita hantu Indonesia, Bibik lukis gambar kampung di Indonesia, Bibik itu, Bibik ini...dan tiada lebam-lebam di badan mereka.

Apapun, tindakan pembantu rumah yang mendera anak-anak kecil majikan mereka perlu dapat pembalasan sewajarnya. Namun, punca mereka mendera perlu dikaji oleh Kementerian dan bentangkanlah jalan yang terbaik buat semua pihak; ibubapa, pembantu dan anak-anak yang masih belum mengerti...

Rustam, emel awak mengganggu emosi saya yang sedang ceria selepas mengikuti bicara Dr Jeniri Amir dari Sarawak.

Saturday, April 11, 2009

PTS Cemerlang di Segamat

Saya membawa anak-anak ke Dewan Jubli di bandar Segamat. Ada Pesta Buku. Kebanyakannya buku akademik. UPSR, PMR, SPM dan STPM. Lambakan buku-buku PTS menggembirakan hati saya. Alhamdulillah, anak-anak saya seronok memilih buku-buku terbitan PTS. Setelah berjaya memilih sebuah buku seorang (dihadkan satu seorang, mamanya terlupa nak keluarkan duit), kami ke kaunter.

Juruwang berbangsa Cina. Nampak sahaja 5 buah buku terbitan PTS diletakkan di atas meja, dia 'bercho che, cho che' dengan rakannya. disebut-sebut PTS beberapa kali. Saya menyerkap jarang.

"Ramai ke beli buku PTS?"

"Lamai loooo, buku PTS bagus, mahal tapi dia punya isi banyak bagus looo..."

Saya setuju dengan juruwang Cina tersebut. Buku PTS agak mahal namun sangat berbaloi. Tidak rugi membuat pelaburan atas buku.

Saya memilih Travelog Iran, Menyingkap Bumi Ahmadinejad. Anak-anak memilih Sakit Gigi, Debaran Buku Biru, Misteri Vila Penn dan Abang, Adik dan Ayam.

Tahniah Puan Ainon!