Thursday, March 17, 2011

Abah Pulang ke Pangkuan Allah

Khamis lepas, 10 Mac 2011, 4 jam sebelum pemergian Abah, saya menulis tentang kesihatan Abah yang beransur pulih. Pada pukul 3.45 petang Khamis yang sama, ketika sedang menghabiskan kuliah kepada pelajar Pengurusan Perniagaan, saya mendapat panggilan sedih..Abah tenat. Pukul 3.50 petang, masuk lagi panggilan..Abah telah pulang ke pangkuan Allah......

Kini telah 8 hari Abah meninggalkan kami dengan seribu kenangan manis dan baik-baik sahaja tentang perjuangan kelangsungan hidup Abah di Sg Sumun, Perak. Abah, menurut suami, tidak pernah meninggalkan solat, Abah menurut Nyah tidak pernah memukul anak-anak, Abah menurut emak tidak pernah meninggikan suara terhadapnya, Abah menurut saya seorang lelaki yang gigih, tabah dan terbaik dalam hidup kami sekeluarga...

Abah, semoga tenang di persemadian abadi, di sisi Ilahi...

Thursday, March 10, 2011

Abah

Abah kena serangan jantung. Kami bergegas pulang ke Teluk Intan. Abah di bawah pengawasan rapi doktor pakar jantung. Keadaan abah sangat menyedihkan. Sebelum ini, abah yang bertubuh tegap sentiasa bergerak ke sana sini. Bagi ayam itik makan, kutip pucuk paku, cari kelapa dan parut untuk emak yang menunggu di dapur, bertukang di bawah rumah, bergegas ke tanah perkuburan menggali liang lahad apabila ada kariah kampung yang meninggal dunia dan macam-macam lagi kerja kampung yang abah sudah biasa lakukan berpuluh tahun...Dan kini, di saat ini abah sedang terlantar di atas katil hospital, lesu tanpa tenaga...

Abah tidak lalu makan, buah anggur yang dibeli hanya sebiji dikunyah perlahan...Abah memberi isyarat dengan mengangkat tinggi tangan kanannya apabila tekaknya kering. Abah menyedut air dalam gelas dengan menggunakan penyedut plastik. Agak sukar kelihatannya. Saya berbisik di telinga kiri abah..."abah, abah nak nestum tak?"

"Ada ke?" balas abah lemah.

"Ada, nanti Ani beli. Abah, abah tak lalu makan nasi hospital ye..." tanya saya lagi. Abah mengangguk perlahan.

"Abah nak rendang ayam? Ani belikan ya.."

Abah mengangguk lagi. Hati saya kembali berbunga. Dan sungguh, abah menyedut laju setengah gelas nestum yang dibancuh dengan air suam. Abah lapar tetapi makanan hospital sungguh tidak kena di tekaknya. Rendang ayam dijamahnya juga walau tidak banyak..Alhamdulillah.

Di suatu ketika, Abah berbisik di telinga saya..nak buang air besar...Saya jadi kalut. Alhamdulillah, sempat saya bertanyakan adik ipar 'prosedur' buang air besar sebelum dia berehat di bilik solat wanita. Segera saya ke bilik yang menyimpan peralatan tersebut. Saya isi dua bekas air buat membasuh najis Abah nanti. Alhamdulillah, walau dalam kekalutan, misi tersebut selamat dilaksanakan. Prosedur terakhir disempurnakan oleh adik ipar saya yang muncul selepas 30 minit berehat.

Abah panas. Kipas kecil yang berputar laju di sebelah kanannya belum cukup untuk mendinginkan badannya. Dahinya berpeluh. Dimintanya saya mengelap butiran peluh yang memenuhi dahi luasnya. Rupanya abah juga mempunyai tahi lalat di tengah tengah dahi. Sama seperti saya. Semasa abah terlantar sakit, barulah saya perasan tentang itu.

Abah semakin pulih, kini ditempatkan di wad biasa. Abah, alhamdulillah, Allah masih memanjangkan kehadiran Abah di kalangan kami, anak menantu Abah. Abah, maafkan Ani, sebagai menantu, mungkin cara ani menjaga Abah tempoh hari kurang sempurna...namun Ani bersyukur, Allah memberi peluang kepada Ani untuk berkhidmat kepada ayah mertua sebelum Abah atau Ani sendiri pergi tidak kembali...

Monday, February 28, 2011

Mesej Terakhir-26 Februari-TV3-10 malam

Cerekarama ini bunyinya dan kelihatannya menarik. Para pelakonnya ada peminat tersendiri: Rita Rudaini dan Tiz Zaqyah. Sama cantik, sama berpesonaliti.

Saya promosi cerekarama ini kepada emak, peminat setia cerita Melayu. Emak kelihatan teruja mendengar nama Rita Rudaini. Satu kapal agaknya, maksud saya orang utara...Emak lihat jam dinding. Akademi Quran habis siarannya pukul 10 malam. Sedang elok, kata emak. Emak berbaring di sebelah saya.

Rita bangun pagi, dikejut suaminya, Zafrul. Suaminya akan berangkat ke utara, ada projek yang belum selesai. Rita sediakan sarapan. Zafrul puji melambung isterinya. Zafrul tergesa-gesa, makan cuma sesudu mee goreng. Penat Rita masak! Di dalam kereta, Zafrul bermesej sambil tersengih-sengih. Rupanya sedang bermesej dengan si cantik Tiz yang setia menunggu. Kemalangan berlaku. Zafrul meninggal dunia. Tiz menunggu bagai nak rak. Rita menderita. Seminggu, dua minggu...Rita sangat rindukan Zafrul...hinggalah Rita membaca mesej di dalam handphone Zafrul...ada mesej berbau cinta, rindu, sayang seorang pesaing. Hilang rasa sedih, timbul rasa dendam, benci, sakit hati di hati Rita terhadap Zafrul. Sampai hati Zafrul menduakan Rita. Walaupun Zafrul sudah tiada di dunia ini namun kebencian Rita tidak bertepi. Anaknya diabaikan! Kasihan anak mereka, menuntut perhatian ibunya yang sedang menderita jiwa raga. Tiz setia menunggu tanpa mengetahui kematian Zafrul. Dudanya, Fizz Fairuz kembali menagih cinta Tiz. Fizz telah berubah. Ingin kembali kepada Tiz. Tapi hati Tiz telah tertutup. Hatinya hanya pada Zafrul...Kasihan. Buat beberapa ketika, Rita membiarkan mesej-mesej rindu Tiz pada Zafrul. Akhirnya, atas nasihat Amyza Adnan, Rita nekad menemui Tiz. Diaturkan satu temu janji di tempat biasa pertemuan Tiz dan Zafrul. Mereka bertemu empat mata. Kematian Zafrul dimaklumkan. Tiz keluar dari restoran. Fizz menghulurkan topi keledar kepada Tiz. Tiz terima......

Begitulah sinopsis saya tentang cerekarama ini.

Saya beri 2 daripada 5 bintang. 1 untuk barisan pelakon. 1 lagi untuk temanya.

3 lagi? Tolak 1 untuk jalan cerita yang agak perlahan dan berulang-ulang. Contohnya babak Tiz berbual dengan emaknya, Maimunah tentang hubungan Tiz dan Zafrul. Babak ini berulang 2 ke 3 kali. Mungkin 4.

Tolak 1 untuk penghayatan yang tidak mendalam dan tidak menyengat. Kesedihan Rita dan penyeksaan penantian Tiz tidak begitu menjadi. Ceh..ceh..ceh..komen yang agak melampau!

Tolak 1 lagi untuk hambarnya pertemuan 4 mata Rita dan Tiz di hujung cerita. Lansung tiada unsur suspen! Saya fikir tentu itu klimaksnya. Tetapi jangkaan saya meleset. Kalau saya jadi pengarah, saya akan meminta Tiz berjalan masuk ke dalam restoran, mencari-cari Zafrul seperti orang gila. Tetapi hampa, kelibat Zafrul tidak kelihatan. Tiz kecewa, berjalan keluar. Semasa sedang menuju keluar dari restoran, mata Tiz bertembung dengan mata Rita yang kemerahan dengan air mata bergenang...Tiz berhenti di hadapan Rita. Hati masing-masing berbicara. Tanpa ada suara, Tiz duduk di hadapan Rita yang memegang gambar Tiz. Dan Tiz tahu, wanita itu ialah isteri Zafrul...

Saya fikir saya boleh mengarah drama tersebut. Pasti menang Anugerah...sudahlah mak cik, tanda kertas ujian lagi banyak faedahnya....

Sebelum saya menanda kertas ujian, saya ingin merakamkan di sini dialog adik lelaki saya, Haji Firdaus semasa kami sedang menonton cerekarama ini.

"Apalah pompuan ni, suami dah mati pun, nak benci-benci. Leceh betul pompuan ni..."

Itulah ayat tipikal mana-mana lelaki yang ada 1 nafsu 9 akal.

Kita yang ada 9 emosi dan 1 akal, pasti akan terkenang-kenang dan terfikir-fikir, kalaulah cerita ini berlaku kepadaku, bagaimanakah keadaanku waktu itu.....

Sunday, February 27, 2011

Tidak Perlu Bertanya

Antara saya dan emak, banyak perbezaannya. Emak saya berkulit cerah. Berhidung mancung. Rajin. Tangkas. Pandai memasak.

Saya berkulit ala-ala Cheryl Samad. Hidung tidak mancung tetapi alhamdulillah, boleh bernafas, Agak rajin tetapi lebih banyak malas. Sukakan ketangkasan tetapi kurang stamina. Suka makan masakan emak walau agak pandai memasak tetapi di hujung minggu sahaja.

Nampak perbezaannya?

Emak tidak begitu pandai menunjukkan kasih sayangnya kepada anak-anak melalui pelukan atau sentuhan. Emak menterjemahkan kasih sayangnya melalui masakan yang enak, layanan yang mesra dan barang-barang yang dihadiahkan kepada kami adik beradik. Tidak perlu bertanya adakah emak menyayangi kami? Jawapannya sedia ada, agak tersirat...

Pagi tadi, saya bersarapan bersama-sama emak di Serendah. Saya tidak mahu menyusahkan emak lalu saya meminta anak yang sulung ke gerai membeli roti canai. Rupa-rupanya emak telah pun menggoreng nasi dan cucur udang. Lauk pauk semalam dipanaskan. Terhidang di atas meja, sambal tumis udang, kari daging, sayur campur dan ikan terubuk goreng.

"Mak, Ani ada nak tanya ni, mak perasan tak masa Ani kecil dulu, kenapa ye baju Ani mesti lain warnanya dari arwah Kak Long dan Adik?" tanya saya pada emak. Ketika membelek album lama, banyak kepingan gambar yang merakamkan perbezaan warna baju kami tiga beradik. Kami bertiga memakai gaun yang sama tetapi gaun saya berwarna coklat. Di sekeping gambar lain, kami memakai t-shirt dan seluar panjang yang sama potongannya tetapi T-shirt saya berwarna hijau. Yang dua lagi berwarna merah.

"Entahlah, mak dah tak ingat..Tapi mungkin masa tu, Ani dah pandai memilih. Yang emak ingat, Ani kalau nakkan sesuatu mesti dapat!", balas emak. Saya lihat air mukanya berubah. Nasi goreng di dalam pinggan dikais-kaisnya. Seolah-olah hilang selera makan.

"Emak tak pernah tanya Tok Teh, kenapa Tok Teh tak bela mak masa mak kecik. Kenapa Tok Nek yang bela? Mungkin ada sebab kenapa Tok Teh tak nak bela. Tak perlu bertanya..." tiba-tiba emak menyambung.

Saya tersentak. Allah...emak sudah salah sangka pertanyaan saya. Emak mungkin beranggapan yang saya mempertikaikan layanan emak terhadap saya semasa kecil.

"Emak, ani bertanya tu bukan sebab apa-apa mak. Ani cuma nak tau kenapa berbeza. Bukannya ada maksud lain. Betullah tu, Tok Teh tak bela emak mungkin sebab suami barunya tak selesa dengan anak tiri..." cepat-cepat saya menjustifikasikan soalan saya tadi.

"Abah yang suka Ani lain dari yang lain. Tapi bukan abah aje buat keputusan, mak pun sama-sama setuju.." terang emak dengan raut wajah yang kembali selesa...

Tidak perlu bertanya, saya memang anak abah. Dari segi rupa hinggalah ketingkah laku, hampir semuanya sama.

Namun, satu perubahan besar antara saya dan emak, sejak pulang dari Mekah, kami semakin mesra berkomunikasi dan berbincang mengenai banyak benda sehinggalah kepada hal suami isteri...

Syukur Ya Allah, mulut ini yang suka bertanya, akhirnya meleraikan beberapa persoalan yang belum terungkai...


Friday, February 25, 2011

Nyanyi Sunyi

Saya sedang ber'nyanyi sunyi'.

Karya terbaharu Dr. Maskiah Masrom membawa hati saya jauh mengembara ke dalam dunia sastera Melayu klasik Raja Ali Haji, puisi indah Sohaimi Meor Hassan, nyanyian rakyat Aripin Said, lagu Warisan Sudirman Haji Arsyad dan banyak lagi...

Saya terpaut untuk membaca dan meyelami kisah Cempaka sejurus membaca baris-baris pertama novel tersebut. Betapa Dr. Maskiah Masrom bijak menawan hati pembaca dengan ayat-ayat kukuh dan meyakinkan.

Saya akan membaca sehingga selesai dan akan memberikan sedikit pandangan kerana itulah permintaan penulisnya. Sudah tentu pandangan saya itu adalah pandangan biasa-biasa sahaja dan tidaklah setanding dengan ilmu penulisnya.

Bagi saya, Nyanyi Sunyi perlu diselami dan dihayati.

Terima kasih Sal kerana meminjamkan Kak Ani novel baharu Dr. Maskiah Masrom.

Wednesday, February 23, 2011

Kekuatan & Ketenangan

Pentingnya dua elemen di atas dalam kehidupan seharian kita memang tidak dapat dinafikan. Saya seorang yang kalut. Haji Jalaludin, pakar protokol yang dijemput Kelab Inspirasi minggu lepas, melihat saya seorang yang perfectionist. Katanya lagi saya dibayangi unsur-unsur lelaki. Inginkan sesuatu terhasil dengan cepat. Jika ada masalah, ia perlu diselesaikan di situ juga. Tiada kompromi. Ash, exco Kelab Inspirasi mengangguk laju mengiakan kata-kata Hj Jalal. Saya sendiri sangsi yang saya seorang perfectionist. Tetapi saya setuju tentang saya mahukan penyelesaian yang cepat apabila ditimpa ujian atau cabaran.

Telah banyak episod dalam hidup ini diakhiri dengan penyelesaian segera. Dan saya tidak pernah menyesal walau apapun hasilnya. Bagi saya setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya walau mungkin hikmah tersebut tidak dapat dipastikan sehinggalah ke nafas terakhir...

Mengapa saya begitu? Saya seorang yang kalut. Itu mungkin jawapannya. Apabila diuji Allah, saya hilang kekuatan, terbang keyakinan. Namun saya masih boleh berfikir, saya ini sedang diuji. Adakah saya hanya akan menyerah segalanya pada takdir semata-mata tanpa berusaha? Saya akan mencari penyelesaian segera. Saya akan merancang dalam masa yang singkat. Dan saya akan melaksanakannya dengan kadar segera amat. Bagi saya jika saya menangguh-nangguhkan peyelesaian ujian tersebut, hari esok yang mendatang adalah belum pasti dapat dilalui dengan kekuatan dan ketenangan.

Sebagai contoh, Khairil, bekas exco Kelab Inspirasi meminta saya menjadi moderator sebuah forum "Islamophobia: Persepsi Negatif Yang Disengajakan" dan dia mengesahkan pelantikan saya dua hari sebelum tarikh forum. Subhanallah, saya tahu apa itu Islamophobia tetapi hakikatnya seorang moderator perlu memahami topik dengan mendalam sebelum boleh mengemudi sebuah forum. Saya jadi kalut. Saya perlukan kekuatan dan ketenangan. Kerja pejabat yang tidak surut, tugasan dan ujian pelajar, dan pelbagai ujian hidup lain mengelilingi saya pada masa yang sama. Dan, LIM JOOI SOON ialah salah seorang panelisnya. USTAZ KAMARULZAMAN yang kaya ilmu itu juga menggugat jiwa saya yang tidak kuat dan tidak tenang. Khairil betul-betul berharap saya menerima pelantikan tersebut. Wajahnya serius mengharap.

Pada masa itu, saya hanya perlukan kekuatan dan ketenangan. Allah maha memahami, Allah maha mengasihani. Saya berjaya mengumpul kekuatan dan ketenangan yang saya harapkan dan alhamdulillah ya Allah, forum berjalan lancar..Saya sendiri banyak belajar perkara baru dari dua orang panelis yang sama hebat dalam bidang masing-masing. Subhanallah, walhamdulillah, walailahaillallah waAllahhuakbar!

Saturday, February 19, 2011

Edisi Lewat

Ini edisi lewat, trauma banjir melewatkannya. Saya berdiri di hadapan lautan air teh susu yang garang membidas apa sahaja yang menghalang laluannya. Air juga makhluk Allah, berkerja kerana Allah.



Tempat parkir kereta Klinik Kesihatan Segamat. Ketika mengambil gambar ini, sepasang suami isteri berbangsa India berdiri di sebelah saya. Mereka rupanya kakitangan klinik tersebut. Mereka ingin cuba memasuki kawasan klinik bagi menyelamatkan peralatan dan ubatan.

Medan Selera. Kedai Makan Hajah Nafisah yang menyediakan nasi lemak sambal sotong turut tidak terkecuali.



Air yang melimpah dari tebing Sungai Kapeh. Jalan utama dari Jementah ke Segamat terputus terus.



Berpayung sambil memerhatikan gerakan air.
Ya Allah, sudah dua kali Segamat dilanda banjir besar. Apabila Dikau katakan Jadi! maka Jadilah ia...KekuasaanMu meliputi segala yang di langit dan di bumi. Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah dan peliharalah kami daripada musibah yang lebih besar; musibah kehilangan iman dan Islam...