Thursday, October 8, 2009

Lain PADANG, lain belalang...

Tapi Malaysia dan Indonesia hakikatnya negara-negara Kepulauan Melayu yang bertiangkan agama, berlangitkan adat dan berdindingkan budaya. Kita berbahasa Melayu walau dialeknya berbeza.

Mengapa ada di kalangan rakyat yang mesti bermusuh-musuhan sedangkan kita saling memberi dan menerima. Kita menerima tenaga kerja mereka dalam pelbagai bidang. Kekayaan Malaysia dikongsi bersama sama kerana kita yakin ini bumi Allah: siapa berusaha, dia merasa. Kalau merasa tanpa usaha, itu rezeki pemberian Allah yang Maha Pemurah.

Di Padang, kehadiran bantuan kita ditolak segelintir kecil mereka. Khabarnya sudah ada bala tentera yang bersedia memerangi kita dengan buluh runcing tajam. Menurut Arif, rakan Indonesia sesarjana yang sudahpun kini berkerja di salah satu Kementerian di sana, banyak isu kecil yang membentuk satu isu besar dan akhirnya diapikan oleh segolongan orang untuk memerangi kita di sini.

Hakikatnya, walau kita berlainan padang, dipisahkan oleh laut China Selatan, kita mempunyai persamaan dalam banyak perkara. Agama, adat, budaya, bahasa, makanan, pakaian: itu semua sudah menunjukkan betapa kita adalah serumpun. Tentang lagu-lagu atau tarian rakyat, ia boleh diselesaikan secara akademik. Saya sendiri pernah menulis tentang traditional cultural expressions: apakah cara-caranya untuk mengelak perselisihan antara dua negara ini. Saya harus meneliti kembali tulisan tersebut dan kalau diluluskan, bentang di seminar di Indonesia. Namun harus bersedia dengan soalan-soalan hangat atau hangit.

Tentang penderaan ke atas pembantu rumah, bukanlah ingin bersikap bias, namun, sungguh jarang majikan beragama Islam dilaporkan mendera pembantunya.

Mengenai Ambalat, isu perairan dua negara, perlu diselesaikan melalui rundingan dan bukan media.

Manohara pula, ampun Tuanku, hamba tidak pandai berbicara, kerana ini hal rumahtangga, ia rumit lagi rahasia.

Di atas segala persamaan itu, yang paling utama, kita harus kembali mengingati bahawa Allah memerintahkan kita berpaut kepada satu tali iaitu Al-Quran dan selagi kita bernama Islam, kita adalah sahabat. Sahabat tidak akan terputus selagi tidak mempersekutukan Allah dalam setiap tindakan.

Cakap banyak

Semalam semasa melawat Jua yang baru menimang cahaya mata pertama, kami (termasuk Sasai dan Ju) bercakap banyak perkara. Sambil makan biskut raya dan kekacang, kerepek, minum sirap yang sejuk, kami berrrrrrcakap tak berhenti. Bila ada isu isu sensitif, masing-masing memperlahankan nada suara, macamlah ada orang lain yang mendengar.

Saya pula memang sejak kecil pandai dan banyak bercakap. Semasa bersekolah di SMKA SHMS Seremban, saya sering menjadi penglipurlara selepas waktu prep, sebelum mata dilelapkan. Kami bertemankan lampu beranda. Kami akan ramai-ramai duduk di lantai, antara katil. Banyak cerita yang akan diperdengarkan. Kawan-kawan khusyuk mendengar. Hingga betul-betul mengantuk, barulah kami akan beredar ke katil masing-masing. Dan saya yang sememangnya fobia dengan waktu malam di asrama akan membaca buku sehingga tertidur.

Bila di alam universiti pula, bakat bercakap yang ada disalurkan kepada Moot Court Club.

Di alam pekerjaan, akibat bakat bercakap, saya menjadi orang penting dalam Kelab Pensyarah. Maklumlah kolej swasta, banyak kebajikan staf yang dipandang sepi. Keuntungan diutamakan. Sayalah yang bercakap banyak dalam mesyuarat. Saya di'mark'.

Balik kepada cerita asal, selepas menziarahi Jua dan baby baharunya, kami pun pulang ke kampus. Ju ingin melihat-lihat dahulu rumah-rumah staf UiTMJ yang mendominasi Taman tersebut. Kebetulan saya pernah menyewa di situ selama 4 tahun, jadi saya agak pakar tentang ini rumah En Kadir Library, sebelahnya Husni Fasiliti, yang ni pula rumah En Riduan HEP, itu rumah Kak Ida Penawar, ini rumah Din Fasiliti, itu rumah En Halim Kadri.

"En Halim ni, pendiam betul orangnya. Tapi dah berbuah buku dia tulis" komen Ju sewaktu keretanya melalui hadapan rumah En Halim.

"Jadi kita ni kena jadi pendiam la, mungkin banyak buku atau artikel yang boleh kita tulis" balas Sasai.

Saya setuju. Bila banyak bercakap, kita cepat letih. Bila dah letih, kita akan tertidur. Jadi bila masa nak menulis? Itu belum kira dosa yang kita himpun bila banyak bercakap. Pesan Luqmanul Hakim tentang kurangkan bercakap memanglah tidak dapat dinafikan kebenarannya. Bercakap banyak juga boleh membawa kepada mengumpat dan mengeji. Juga membuat fitnah. Umpatan, kejian dan fitnah kemudiannya akan sampai ke telinga-telinga lain dan telinga orang yang diumpat akhirnya. Dendam terbentuk. Persahabatan terlerai.

Kalau saya kurang bercakap selepas ini, janganlah saya dikatakan sombong. Saya cuba untuk kurang bercakap. Tapi tetap ramah. Memberi salam kepada mereka yang berselisih adalah tanda ramah saya.

Monday, September 28, 2009

Biskut Raya Boleh Dibeli

Bermacam jenis, rupa dan rasa biskut raya dihidang buat tetamu di bulan Syawal. Hampir semuanya dibeli. Kalau rajin nak buat sendiri, selalunya biskut raya yang senang: bahan memang sedia ada di dapur dan cara membuatnya tidak renyah.

Tabiat buruk saya bila pergi beraya ialah bertanyakan tuan rumah: Biskut mana yang buat sendiri?

Kalau ada biskut hasil tangan tuan rumah, biskut itulah yang akan dicapai dahulu.

Sekarang orang perempuan memang senang sangat. Biskut raya boleh dibeli atau ditempah sahaja. Tapi itu biskut...

Yang tidak boleh dibeli ialah umur muda dan kesihatan yang baik.

Syawal kali ini, saya sedar satu perkara. Sebelum ini, sedar juga namun kurang insaf. Kunjungan raya ke rumah saudara mara sebelah suami dan sebelah saya membawa pengajaran yang patut dijadikan teladan.

Wak Rukyah, Bibik Mor, Wak Sorip, Mak Ngah, Tok Jang, Tok Teh, Mak Uda adalah antara ibu tunggal berumur lebih 60 tahun. Dahulu, semenjak mengenali mereka sebaik berkahwin atau sejak kecil, mereka ligat mengacau dodol, halwa maskat, menggoreng tempeyek kerepek pisang ubi kayu bertin-tin. Biskut tradisional seperti putu kacang hijau menjadi satu kemestian. Putu ini sangat renyah pembikinannya. Kacang disangai dan dijemur. Adunan mesti ditekan kuat-kuat pada acuan. Biar kejap dan padat. Pagi Syawal pula, meja penuh dengan hidangan tradisional. Sambal goreng, kuah kacang, rendang ayam daging, lontong daun pisang, lemang...semuanya buatan sendiri. Sekarang semuanya sakit lutut, sakit belakang, sakit sendi dan macam-macam keuzuran lagi. Mengharapkan anak-anak di bandar pulang membawa sebekas dua biskut raya yang dibeli. Mereka juga tidak boleh bergerak banyak dan hanya mampu berbicara sekadarnya. Hasilnya meja penuh dengan pelbagai biskut kedai dan berjenis-jenis kacang atau kerepek beli timbang kilo.

Bibik Ro yang baharu sahaja pulih dari sakit kuat, bersuara perlahan meberi pesanan.

"Inilah Ani...masa mudalah kita perlu beribadat sebanyak mungkin. Solat dan puasa sunat antaranya. Solat masa muda lebih baik kerana kesihatan baik. Tulang kuat lagi. Bibik sekarang ini cepat penat..."

Pesanan bibik akan saya ingat dan cuba amalkan. Diusia hujung 30an ini, saya mengharapkan agar keimanan yang ada akan terus bertambah dan tidak berubah kerana usia muda adalah sangat mahal harganya. Moga diberikan rezeki kerajinan dalam beribadat, doa saya selepas solat...

Saturday, September 26, 2009

Singgah-singgah Aidilfitri 2009

Aidilfitri 2009, Nazaria kami mengembara sejauh 2, 428km merentasi Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

8 buah negeri, kami sekeluarga mengunjungi kaum keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Saya patut merakamkan ucapan terima kasih pada suami yang gigih memandu seorang diri. Saya pula adalah seorang co-pilot yang kerap tertidur dari berjaga.

Segamat-Teluk Intan-Bagan Datoh-Bidor-Tanjung Malim-Serendah-Kuala Selangor-Sabak Bernam-Bagan Serai-Seberang Prai-Georgetown-Balik Pulau-Bayan Lepas-Batu Maung-Nibong Tebal-Gerik-Jeli-Kota Baharu-Pasir Tumboh- Pantai Irama Melawi- Bachok-Ketereh-Pulai Chondong-Kuala Terengganu-Jengka 4 Pahang-Muazzam Shah-Segamat.

Kembara Aidilfitri yang mengambil masa 8 hari sememangnya agak meletihkan namun sangat-sangat berpuas hati kerana hubungan yang terputus akibat kejauhan dapat disambung kembali. Setidak-tidaknya anak-anak kami dapat mengetahui susur galur keluarga Haji Ismail Mat dan Haji Abdul Ghafar.

Saya mendoakan seluruh ahli keluarga dan sahabat handai selamat hidup di dunia dan akhirat. Hanya itu doa yang mampu diucapkan.

Hingga ketemu lagi.

Sajak sahabat

Nuza, sahabat semenjak matrik law uia. Sudah lebih 5 tahun tidak bertemu. Telefon pun tidak. Beliau tinggal di Sabak Bernam. Saya mengajak suami membuat kunjungan raya mengejut. Berpandukan ingatan 5 tahun lepas dan bertanya-tanya pada mereka yang setaman dengannya, kami berjaya menjejaki Nuza. Dan ternyata beliau menghargai kunjungan tersebut lalu menukilkan sebuah sajak dalam blognya.

Beliau cikgu Bahasa Inggeris.

should i begin with the beginning
should i start with the ending
but it all will start with your warmth and smile
the treasure i find in you match the magic
that as kid sometimes wish
before they go to sleep
that as adult before facing
a new day to be able to endure the challenge
i have the same hope and pray for you as friend
that your world and my world stays beautiful forever....

a dedication to ani...

Aidilfitri sememangnya bermakna...

Thursday, September 10, 2009

Apabila Kecewa

Saya menerima satu berita yang mengecewakan:(

Dahulu, andai terkecewa, saya akan cepat membuat keputusan lari dari situasi yang menegecewakan itu. Dan selalunya, keputusan tersebut berbaloi, setidak-tidaknya pada diri dan perkembangan kerjaya saya. Saya pernah menjadi Timbalan Presiden sebuah Kelab, akibat terlebih cakap, perkhidmatan saya terjejas. Saya simpan kecewa dalam hati dan merancang lari dari situasi itu. Saya berjaya melarikan diri.

Hari ini, apabila sesuatu mengecewakan harapan dan impian saya, saya masih boleh berfikir dan berfikir dan terus berfikir. Walau jauh di sudut hati, saya nyata kecewa, sedih dan terasa. Saya lebih profesional walau hati tidak begitu senang dan tenang.

Namun, magiknya, dalam keadaan itu saya cuba juga mencari jalan keluar mudah untuk mengatasi kekecewaan itu. Dan saya menjustifikasikan tindakan saya dengan beberapa keadaan lain yang berlegar di sekeliling kehidupan saya.

Itulah saya, seorang manusia lemah yang apabila dikecewakan, akan lari dari kekecewaan tersebut, membina sesuatu yang baru dan mempunyai alasan kukuh untuk melakukannya. Orang lain tiada kena mengena dalam keputusan saya.

Kecewa dan justifikasi atas tindakan lanjut yang lahir dari sebuah kekecewaan...patutkah?

Hanya Allah yang tahu!

Penghujung Ramadan

...dan saya merasakan betapa pantas masa berlari meninggalkan 20 Ramadan...10 Ramadan terakhir, inilah hari yang ditunggu-tunggu oleh hamba-hamba yang berdosa, yang telah bertaubat dan berazam akan terus meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan dilarang. Juga memohon rahmat dan kasih sayangNya kerana hidup ini hanya untuk DIA dan kepadaNya kita akan kembali...

Penghujung Ramadan
Tunggulah aku
Jangan tinggalkan aku
Dalam keadaan ini
Yang masih tercari-cari
Kenikmatan bermunajat di malam hari

Penghujung Ramadan
Biarkan ku berwuduk
Sepanjang masa
Akan ku peluk
Al Quran rapat ke dada

Penghujung Ramadan
Terasa baharu sahaja kau menyapa
Kini detik perpisahan menghampiri tiba
Kau beredar mengikut aturan yang Esa
Malam yang bening terasa hiba
Terkenang dosa akibat alpa
Apa akan diampuni Dia?
PadaNya ku serah segala
Titisan air mata
Keluhan penuh rahsia
Gambaran jiwa harap kasihMu
Pautan hati pinta cintaMu

Penghujung Ramadan
Kupasti merinduimu
Bila lagi akan ketemu
Biar panjang usiaku
Agar dapat kuhirup manismu
Buat bekalan akhir hayatku

Penghujung Ramadan
Tunggulah aku...