Sunday, April 5, 2009

Hidup itu perjuangan

Kita hidup selesa di sini. Tidak seteruk Kemboja, Palestin..namun kita perlu terus berjuang! Walau bukan ancaman perang saudara atau serangan musuh, namun ancaman di Malaysia lagi bahaya. Boleh merosakkan akidah dan pegangan agama Islam tercinta.

Buat pelajar Diia sem 6 khususnya yang akan berkelana meneruskan pencarian kehidupan selepas Mei 2009, realiti kehidupan terlalu berliku. Ancaman keimanan, terlalu banyak virus perosak di sekeliling kita. TV antaranya. Internet khususnya. Kalian masih muda dan senang mengikut kata hati. Ingatlah, ikut hati mati! Berpaksilah kepada tiang agama. Walau di mana kalian berada kelak, ingatlah DIA. Saya berdoa agar kalian kekal dalam iman. Buat yang bercinta, cubalah hindari sikap nakal-nakal. Saya doakan kalian bertemu jodoh dalam kerahmatan Ilahi. Ingatlah, kita Melayu Islam. Adat dan hukum seiring mengawal segala tindakan. Moga kita semua beroleh kejayaan.

Buat Han, Izy, Maz, Munira (Kelab Inspirasi), terima kasih atas kerjasama. Semoga kalian bakal menjejaki ilmu Tuhan dengan keimanan yang berterusan.

Andai DIA sentiasa di hati, insyAllah, kita akan selamat..Berdoalah agar iman kita yang senipis kulit bawang akan terjaga.

Sesungguhnya hidup itu perjuangan...

PANAS


Bila bercakap hal politik, Qayyum, pelajar Ijazah Perakaunan, amat berminat dan ada banyak buah fikiran. Seorang lagi, Payat, bekas pelajar Ijazah Perakaunan juga. Sekarang sudah berkerjaya. Sekarang minggu-minggu terpanas buat mereka yang komited dengan perkembangan politik negara. Tahanan ISA pun dah lepas bebas. Alhamdulillah, moga pengalaman ditahan dapat memberi kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.

TV pun semakin rancak dan panas dengan perang saraf terakhir. Ucapan 14 tahun sudah ditayang semula. Panas sungguh!

Cuaca di Segamat, sekejap panas, sekejap hujan. Walau hujan di sebelah petang, malamnya tetap panas. Tinggilah bil elektrik bulan ni. Tetapi suami kata, tak apa, biar untung syarikat abang. Saya kata, abang bukan pemegang saham. Dia kata, kalau TNB untung, pekerja dapat bonus lebih. Saya kata, kongsilah bonus tu, dalam bentuk barang kemas pun ok. Suami kata hehehe...

Bumi makin panas. TNB mencatat penurunan penggunaan sebanyak 550mw. Semasa earth hour berlangsung minggu sudah, rata-rata penduduk taman prihatin. Namun ada blogger yang pesimis tentang keberkesanan kempen ini. Apa ada pada tempoh sejam?

Panas, suasana politik, sosial, ekonomi Malaysia semakin panas.

Hobi baharu

Seorang suami berusia lewat 30an mempunyai satu hobi baharu.

Suami: Abang nak beli Ninja le
Isteri : Patutlah dalam tidur malam tadi, saya dengar abang sebut Ija, Ija..rupanya Ninja
Suami: Daripada abang ‘beli’ Ija, baik abang beli Ninja
Isteri: Yelah tu, harap abang sayang Ninja macam abang sayang saya,pertama dan terakhir
Suami: Tengoklah dulu, kalau 250 tak sedap, beli 750 pulak
Isteri: Erk..Tak pe, belilah bang, jangan ‘beli’ yang lain dah le..
Suami: Bila ada konvoi ke mana-mana, boleh join
Isteri: Jangan ke Perlis dah le
Suami: Awak pun boleh join sekali
Isteri: Err...tengoklah dulu, agak-agak riders lain muda-muda ke
Suami: Masing-masing dah 40an, saja pusing-pusing, cari pengalaman
Isteri: Bagusla kalau cari pengalaman bermotor...

Menjelang umur 40an, lelaki akan mempunyai hobi baharu. Positif atau negatif sukar ditebak. Positif bagi mereka, negatif bagi kita. Namun, sebagai isteri kita hanya mampu berdoa yang terbaik buat suami, diri kita sendiri dan anak-anak. Moga hobi itu dapat meningkatkan keimanan. Bukannya menjatuhkan nilai diri seorang lelaki.

Isteri pula, menjelang 40an, apa pula hobi baharu ye?

Saya semakin suka membaca...

Kisah Nasi Lemak 3S

Di Shah Alam pagi ini, sebungkus nasi lemak johan Pertandingan Membungkus Nasi Lemak dilelong dengan harga RM500. Amboi mahalnya…Mek pengacara “Nasi Lemak Kopi O” NTV9 sampai berkata simpan sahaja nasi lemak tu ke tahun depan…Khabarnya, hasil lelongan akan diserahkan ke Tabung Gaza. Alhamdulillah! Namun, sebungkus nasi lemak dengan harga RM500 bunyinya menakutkan.

Di Segamat, masih terdapat nasi lemak daun pisang di merata tempat. Paling murah sebungkus 60 sen. Bukan 50 sen, 50 sen Remi…(teringat Azian Irdawaty, apa khabar aktres ini). Bagi saya, nasi lemak jualan seorang wanita berhampiran Pasar Besar Segamat adalah yang tersedap. Apapun yang paling tersedap adalah nasi lemak buatan tangan saya sendiri. Hehehe ada ya perkataan YANG PALING TERSEDAP. Adaaa…contohnya setelah tamat Tingkatan 5 di SMKA Sheikh Haji Mohd Said Seremban, guru kelas yang saya hormati, mendiang Mr Shanmugam telah menulis PALING TERBAIK pada ruang kelakuan di Sijil Berhenti Sekolah saya. Opps dah tersasar tajuk..Saya menyediakan nasi lemak buat sarapan hanya pada hujung minggu. Hampir 4 pot ditanak. Agar tahan sampai ke petang. Malamnya, suami akan mengajak makan di luar. Jimat gas Petronas!

Di Serendah, nasi lemak emaklah yang tersedap. Entah apa adunan emak, nasi lemaknya berminyak dan berbau harum. Sambal tumis ikan bilis dan berkentang meruntuh tembok diet harian. Kacang tanah dan ikan bilis goreng penambah sedap. Hirisan timun muda dan telur rebus pelangkap hidangan. Emak kata direnehkan santan terlebih dahulu. Kemudian barulah tanak bersama beras. Helaian daun pandan diikat kemas dan diadun bersama beras dan santan. Hirisan halia di’campak’ buat penaik bau. Emak masak guna dapur gas. Mungkin sebab itulah nasinya harum dan berkilat.

Nasi lemak tetap pilihan no 1 orang kita. Dan saya akan memesan roti canai juga bila sesekali bersarapan di luar bersama keluarga.

Wednesday, March 25, 2009

Rempuhan Persahabatan

Sabri (nama sebenar) pelajar DIA. CGPAnya cemerlang. Semalam, atas nama sebuah persahabatan, dia merempuh pintu bilik di kolej. Sekali rempuh tak lut, dua kali rempuh, daun pintu terkopak. Diminta membayar denda atau dihadapkan ke Lembaga Tatatertib.

Di dalam bilik, terkurung seorang junior. Dia ada ujian Bahasa Inggeris. Sekiranya dia tidak menduduki ujian tersebut, kegagalan sudah ditempah. Tombol pintu dipusing-pusing. Ke kanan, ke kiri. Enggan terbuka. Jenuh mencuba, Sabri, rakan sebilik, dihubungi.

Rempuhan Sabri adalah rempuhan tanpa niat mengopakkan daun pintu. Rempuhan itu atas dasar sebuah persahabatan adik-abang. Dia tidak mahu adik juniornya ketinggalan ujian. Dia ingin melihat adik juniornya itu lulus. Namun, dalam keadaan cemas, Sabri tidak sempat berfikir panjang. Ujian sudah 20 minit berlalu. Yang terlintas di fikiran ketika itu ialah adiknya akan gagal andai terlambat.

Saya terharu dengan tindakan Sabri. Atas nama persahabatan, dia sanggup menghadapi risiko. Inilah persahabatan sejati. Bersama-sama dalam perkara kebaikan.

Sabri memilih membayar denda. RM200. Mmmm..menarik.

Monday, March 23, 2009

Jahil Undang-Undang?

Saya pernah menulis tentang jahiliah moden. Satu fenomena yang menakutkan. Saya juga takut, terkenangkan 4 anak zaman moden di rumah.

Ada juga segelintir pelajar yang jahil undang-undang, lebih tepat lagi, Akta 174.

Namun, saya tidak merasakan mereka mengalami kejahilan total. Saya fikir, mereka enggan memahami. Jiwa muda adalah jiwa gelora. Bagai lautan luas. Sekejap tenang, sekejap membadai.

Saya simpati dengan mereka kerana saya juga pernah bergelar remaja. Namun, di atas segalanya, sesuatu tindakan itu terhasil kerana kejahilan kita sendiri mengenalpasti apa yang boleh, apa yang tidak. Apa yang baik, apa yang buruk. Risiko tahu tapi hati kata teruskan. Jadi, perlu menanggung segala kesan: kesan jangkamasa pendek dan kesan jangkamasa panjang.

Wahai jiwa, belajarlah memahami...

Perjuangan Belum Selesai

Alhamdulillah, 3 program Kelab Inspirasi berjaya dilangsungkan.

1) Lawatan Amal ke Pernim
2) Forum Cinta Mahasiswa: Semanis Madu Sepahit Hempedu
3) Mahasiswa Turun ke Desa

Exco-exco Kelab tentunya menarik nafas lega. Bolehlah selepas ini mereka memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada akademik sebelum 20 April tiba. Namun, Bendahari masih ada kerja-kerja pelarasan kewangan. Sabri, sabar ajelah...

Sebagai Penasihat, saya turut lega. Saya juga telah mengenalpasti beberapa kelemahan besar Kelab. Bila tiba sesi bedah siasat aktiviti, saya berdoa semua Exco berlapang dada menerima kritikan yang diharap dapat menambahbaik perjalanan Kelab di masa akan datang.

Di sebalik program, terlihat beberapa perkara penting:

1) Komunikasi sangat utama. Komunikasi dua tiga empat hala. Andai terputus elemen ini, kerja jadi pincang.
2) Sikap menunggu kerja adalah sikap yang tidak molek. Cari kerja walaupun terpaksa menyudahkan kerja orang lain. Kita perlu lengkap melengkapi.
3) Ketua projek mestilah seorang yang ada aura dan suara. Hilang aura dan suara, ketua terpaksa menanggung kerja.
4) Doa setiap sebelum dan selesai pekerjaan. Kerana akhirnya, Allah sahajalah yang mempermudahkan semua urusan.

Bukan mudah menjadi penasihat rupanya...

Banyak lagi kerja menasihat yang belum selesai...