Thursday, February 25, 2016

Pendidikan & Kita

Bismillahirrahmanirrahim

Menarik sekali mengetahui perkembangan terbaharu Ustaz Hasrizal Abdul Hamid. Bermula dengan rasa kecewa terhadap pendidikan awal anak lelaki beliau, kini beliau kembali dengan konsep sekolah Khalifah. Saya mengikuti dengan penuh minat blog beliau. Terasa mahu memohon mengajar di sana. Terpikat dengan silibus yang ditawarkan kepada para pelajar. Berbeza dengan sistem sedia ada. Bahasa Inggeris digunakan semaksimum mungkin. Cara pelajar berfikir diutamakan. Metod P&P yang dinamik. Satu pembaharuan yang kita patut harapkan.Tahniah Ustaz. Semoga menjadi bekalan amal soleh.

Monday, October 12, 2015

Erti Sahabat

Saya tiada sahabat.

Saya cuma ada beberapa orang kawan rapat yang hanya tahu beberapa perkara penting, bukan semua.

Segala rasa gembira, sedih, buntu, kecil hati, geram, saya kongsikan dengan Yang Maha Menyimpan Rahsia.

Saya pernah meluahkan beberapa rasa 'pahit tapi benar' dengan beberapa manusia yang saya fikir mereka ialah sahabat saya, namun akhirnya hubungan itu renggang jadinya. Saya sedih tetapi itulah hakikat kehidupan dunia. Erti sahabat tinggi nilainya. Sahabat sejati sangat sukar dicari. Mungkin satu dalam seribu.


Wednesday, April 15, 2015

Pulang

Hari ini, 15 April 2015, saya kembali pulang ke tempat asal saya menumpahkan perasaan hati, pemikiran kreatif, persoalan hidup dan segala perkara yang bermain di minda. Ia sebenarnya bersifat peribadi, namun harus difahami, laman sesawang bukan untuk tatapan sendiri semata-mata, melainkan untuk dibaca dan dikongsi bersama oleh pelayar-pelayar jalur lebar sedunia.

Apa yang ditulis di sini bukan semuanya pengalaman diri sendiri namun nilai yang tersirat di sebalik penulisan yang perlu diberi perhatian.

Saya tidak mampu berkongsi semua perasaan hati dan semua kenangan pahit manis di sini kerana saya tidak mempunyai prinsip yang  sama dengan mereka yang membaca.

Inilah saya, ingin kembali menekuni penulisan melalui blog dan semoga Allah memberi kekuatan untuk itu.

Rabbi yassir wa la tu 'assir.




Friday, September 6, 2013

Sirna Mentari

Bilang mentari kepada purnama
ku pergi dahulu meninggalkanmu
kerana ku yakin
kau dikelilingi bintang berkerdipan
jika diizinkan
aku kembali menyinari
mentari berlalu perlahan
purnama berpesan
jika ada takdir kita
jika ada takdir kita
jika ada takdir kita
kembalilah...

Thursday, November 1, 2012

Pantai itu

Pantai itu
Tanpa deruan ombak
Tanpa deraian pasir
Tanpa puput bayu
Tanpa desir angin
Tanpa taburan cengkerang
Tanpa senget ketam berlari sembunyi
Tanpa panah terik mentari
Tanpa sirna terang bulan
Tanpa apa-apa
Yang ada
Belas Allah cuma...

Monday, September 17, 2012

Ia Datang Lagi

Khabarnya jemaah Haji 2012 pertama akan berangkat hari ini,17 september. Perasaan teruja  dua tahun lepas kembali memenuhi ruang hati, mengisi penuh kotak memori...Khabarnya juga wukuf jatuh pada 25 oktober dan Aidiladha pula bakal melebarkan sayap rahmat Allah pada 26 oktober..

Ia datang lagi
Menjemput hatiku pergi

Selamat berjuang semua jemaah haji..

Tuesday, May 22, 2012

Salam 1 Rejab

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”


Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Semua bulan Islam ada keistimewaan tersendiri. Bulan Rejab, Sya'ban, Ramadan adalah antara bulan yang dinanti.

Berbahagialah jiwa, tenanglah hati, lapanglah dada...

Monday, April 16, 2012

Lelah

Saat ini saya mencemburui seorang teman. Tentu dia sekarang sedang berdiri sebagai seorang hamba yang sangat lemah di hadapan Allah di karpet hijau di taman syurga. Atau mungkin dia sedang sujud khusyuk mendoakan keselamatannya di dunia dan di akhirat. Mungkin juga dia sedang menyudahkan zikir-zikir terakhir dalam solat sunat tasbihnya..Atau mungkin juga dia sedang berusaha menekuni ayat-ayat suci Al Quran di sebalik tiang yang jauh dari lelah dunia...
Teman, saya rindukan saat-saat itu...saat dimana saya dapat merasai kenikmatan hidup dunia yang penuh ujian dengan perasaan yang betul-betul nikmat!

Tuesday, January 17, 2012

Sasaran yang tersasar

Sejujurnya, setiap kali ada penerbit atau penjual buku membuka booth di sini, saya tidak pernah ketinggalan membelek-belek buku baharu dan seterusnya membeli satu, dua atau tiga. Sentiasa ada ruang kosong yang selesa untuk saya menyelak sehelai dua muka surat buku-buku yang menarik perhatian. Tiada hiruk pikuk.

Semalam dan hari ini berlangsung lagi penjualan buku. Tapi kali ini agak luar biasa. Ramai siswi daripada siswa. Mereka bukan sekadar membelek-belek buku malah berbual-bual gembira. Mereka turut memegang beberapa buah buku yang berjaya menawan hati. Mereka kelihatan teruja. Hendak menyelit meninjau-ninjau buku pun kelihatan agak payah terutama waktu-waktu selepas kuliah berakhir. Mereka mengelilingi meja yang dipenuhi ratusan buku-buku. Tetapi mereka tidak membayar menggunakan duit tunai sebaliknya baucer buku yang bernilai RM200.

Pernah terbaca dalam surat khabar, kabarnya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa baucer buku ini hanya boleh digunakan untuk tujuan beli buku teks dan juga buku rujukan sahaja. Tujuan baucer buku ini diberikan adalah untuk meringankan beban pelajar yang terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah. Selain itu, dengan pemberian baucer ini sekali gus dapat memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Selama 20 minit saya membuat pemerhatian. Saya berjaya membuat satu rumusan. Ia tidak seperti yang diharapkan.

Lalu, bagaimana?

Friday, January 6, 2012

Salah Faham

Apabila timbul sesuatu isu, komunikasi dua hala adalah jalan terbaik untuk mencari penyelesaian segera. Berbincang melalui emel atau mesej dianggap sesuai bagi sebahagian isu. Namun merbahaya bagi sesetengah isu lain. Lain yang ditulis dan dimaksudkan, lain pula pemahaman si penerima. Salah faham mula muncul. Komunikasi secara bertentang mata adalah lebih sesuai untuk mengelakkan salah faham. Namun, sekiranya jalan yang diambil itu tidak berjaya, mediator atau perunding hendaklah dilantik. Ia juga dipanggil Sulh. Perunding ini mestilah seseorang yang tidak mempunyai kepentingan ke atas mana-mana pihak. Beliau mesti zero bias.

Sekiranya ada antara kita yang ingin memahami punca isu, pendekatan yang terbaik ialah memahaminya dari sumber yang terapat dan yang boleh dipercayai. Bukannya mendengar dari pihak ke tiga yang tidak berada di tempat kejadian atau yang tidak terlibat secara langsung dengan isu yang timbul itu. Sekiranya ini terjadi, akan banyak salah faham yang akan mengundang implikasi lebih buruk. Memahami isu dengan hanya membaca dari internet atau laman sesawang sebahagian individu juga boleh menerbitkan kekeliruan. Fakta boleh ditambah. Boleh dikurangkan. Boleh juga diseleweng.

Salah faham tentang sesuatu isu adalah amat merugikan. Rugi tenaga positif. Tambah nilai negatif.

Akhirnya huru hara.

Thursday, January 5, 2012

GAGAL

Penat mencuba tetapi terus gagal.

Perlukah terus mencuba? Akan terus gagalkah andai cuba dan cuba lagi?

Pernahkah saudara/i cuba mengusahakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sanggup melakukan apa sahaja namun hasilnya masih terus mengecewakan? Pernahkah terfikir kenapa kegagalan terus menerus terjadi?

Di sebalik semua kegagalan, hati masih berkata teruskan, teruskan, jangan mengalah. Apabila gagal lagi, hati sangat kecewa dan terduduk seketika merenung ke belakang, apa punca diri ini gagal lagi? Hati ditanya, kenapa tiada ketabahan? Kenapa kurang kekuatan? Apakah yang diusahakan itu sebenarnya memang tidak mampu dilakukan? Atau mencuba sekadar untuk mencuba?

Umur bertambah. Dosa juga.

Tuesday, January 3, 2012

KEMBALI

Assalamualaikum rakan semua.

Saya kembali.

Bukankah saya sudah menegaskan 'hijau selamanya' dalam posting saya sebelum ini? Abaikan sahaja dua ayat pertama perenggan terakhir dalam posting tersebut. Manusia memang selalu terlepas cakap.

Ada beberapa isu yang memanggil-manggil hati saya untuk kembali menulis. Isu Anwar, isu SMM di UPSI, isu rusuhan di China, isu pilihanraya, isu anak didera. Maknanya hati saya mudah diusik jika ia melibatkan undang-undang. Memang sebati.

Ini adalah bicara permulaan buat kembalinya saya ke dunia blog.

Salam 2012.

"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya, yang sedia bersih itu, bertambah-tambah bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya, yang sedia bersih itu, susut dan terbenam kebersihannya."- As Syams: 9-10

Tuesday, June 21, 2011

Hijau selamanya




Syurga penuh kehijauan. Taman iman di hati ini, mohon hijau selamanya..


Layu jangan, gerhana kesannya...
















Ini entri terakhir saya. Saya berundur dari dunia blog. Saya mungkin akan meneroka dunia baru. Doakan saya bloggers sekalian. Moga kita berjumpa di Firdausi yang penuh kehijauan dan ketenangan...

Monday, June 13, 2011

We are fantastic!



Just to say she is fantastic.


She wont stop talking and telling stories. She likes to talk. She loves to tell stories.


She is good in computer and technologies.


See, im on movie..coming soon...






Thursday, May 26, 2011

Perang

Peperangan akan berlaku.

Saya akan berperang, perang yang akan meyimpan segala sejarah silam. InsyaAllah...

Minggu ini berlangsung beberapa aktiviti yang membuatkan saya tidak duduk diam. Taklimat Akta di UiTM Segamat, Johor Bahru dan Kuala Pilah. Minggu hadapan saya dijangka ke Putrajaya, bertemu Ketua Pengarah yang baharu dilantik mengetuai JAWHAR. Minggu hadapan juga kuliah akan bermula. Minggu hadapan juga saya akan mendapat jawatan baharu dan bilik baharu dengan tanggungjawab baharu.

Saya akan berperang. Saya akan membuka buku baharu...

Searched for the words
To describe Your beauty
No matter how i tried
No words seemed worthy
Struggled to find
The right words for You
Words just fail to describe
What's deep inside
SubhanAllah, walhamdulillah, La ilahaillAllah, Wallahuakbar

NO WORD IS WORTHY- SAMI YUSOF

Wednesday, May 25, 2011

Cinta Agung

Ya Allah Engkau cinta agungku
Cintaku haraplah dibalas
Ya Allah Engkau cinta agungku
Janganlah cintaku tidak dibalas

Jangan biarkan ku tanpa pimpinan
Pimpinlah aku ke jalan yang benar
Kepada Engkaulah harapanku
Janganlah hampakan perasaanku


-Qathrunnada-

Saturday, April 23, 2011

HIBERNAT

Assalamualaikum wbt

Blog ini akan berHIBERNAT buat satu tempoh yang tidak dapat dipastikan.

Terima kasih atas perhatian, pandangan dan cetusan rasa pengunjung tetap blog ini.

Rabbana atina fid dunia hasanah wafil akhiratil hasanah waqina 'azaaban naar.

Saturday, April 9, 2011

Ke Hospital Segamat Lagi...

Semalam, 8 April 2011, tarikh yang akan dikenang selagi hayat dikandung badan. Hazlina Hassan, pensyarah Fakulti Perakaunan, adalah antara rakan rapat saya. Suaminya di Kuala Lumpur. Telah hampir 3 tahun tidak tinggal sebumbung. Weekend couple. Anak-anak mereka, Sofea, Aisyah dan Aiman sungguh comel. Namun, kesemua mereka mempunyai masalah kesihatan. Sering pula bermalam di wad Hospital Segamat. Kasihan... Jumaat, 8 April 2011, pukul 2 petang, Lina menelefon saya. Ingin menumpang kereta pukul 2.40 petang nanti. Kami ada mesyuarat akademik. Semasa dalam perjalanan ke UiTMJ, barulah dia memberitahu sebab sebenar kenapa dia tidak dapat memandu sendiri. Dia keletihan rupanya. Aisyah telah 3 malam ditahan di wad Hospital Segamat. Lelah dan viral fever. Saya kata padanya, laaa tak bagitahu kak Ani pun. Dia menjawab, dah selalu sangat masuk wad kak...Sekarang ni Aiman pulak dok demam, sambung Lina lagi. Usai mesyuarat, kami minum petang dahulu. Lina hanya minum. Mungkin tiada selera memikirkan Aiman di rumah yang dijaga emaknya yang baharu sahaja sampai dari Perlis semata-mata untuk membantu Lina menjaga 3 anaknya yang sering tidak sihat. Tiba-tiba handphone Lina berbunyi. Dan sejurus selepas itu, dia yang berwajah cemas memandang saya, Kak Ani, kita kena balik sekarang, Aiman menggigil teruk. Saya memandu ke Taman Bunga Raya dengan kelajuan agak maksimum. Lina di sebelah kelihatan sangat cemas. Ini pertama kali Aiman diserang demam yang agak luar biasa. Sampai sahaja di rumahnya, Lina seolah-olah melompat keluar dari Saga saya, dicampaknya tas tangannya ke dalam Wajanya yang sedia terpasang enjin untuk terus bersedia ke Hospital Segamat. Saya mengekori Lina. Di ruang tamu, Aisyah yang belum lagi kebah sepenuhnya berbaring di atas sofa sambil merengek. Aiman duduk melunjur kaki, berbogel. Opahnya mengelap badan Aiman dengan tuala basah. Dan tibalah saat yang sangat mencemaskan dalam hidup saya. Tiba-tiba sahaja, Aiman terlentang ke belakang dengan mata tertutup. Emak Lina menjerit mengarahkan Lina mendukung Aiman ke bilik air. Dijirusnya Aiman dengan air shower. Lina yang mendukung Aiman turut lecun. Saya membantu Lina memegang Aiman. Saya turut basah. Mata Aiman masih terpejam. Badannya longlai. Lina memanggil-manggil nama Aiman. Aiman, Aiman, bangunlah, kenapa buat mama macam ni..Aiman, bangunlah nak...bangun. Saya jadi sayu dengan rayuan Lina. Airmata saya tumpah juga akhirnya mendengar rayuan Lina yang tidak berhenti-henti memanggil nama Aiman. Dipeluk erat anaknya yang seakan pengsan sementara emak Lina kelam kabut menjiruskan air ke seluruh badan cucu lelakinya itu. Dalam keadaan yang mencemaskan itu, saya menyuruh Lina segera ke Hospital. Segera! Lina keluar dari bilik air mendukung anaknya yang masih longlai. Lina yang lecun kebasahan tiba-tiba tergelincir. Kepalanya terhantuk ke lantai. Namun, Aiman yang didukung terselamat kerana erat dipeluk Lina. Lina pantas bangun seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak sakit. Ya Allah, hati wanita saya tersentuh lagi. Saya menangis...Yang keluar dari mulut Lina ialah, Alhamdulillah, kepala mama yang terhantuk, bukan kepala anak mama........ Saya memandu ke Hospital Segamat. Lina di sebelah saya, meriba Aiman. Emak dan adik Lina tinggal di rumah dahulu bagi menguruskan pakaian dan keperluan Aiman di Hospital nanti. Di dalam Saga, Lina memanggil-manggil nama anaknya dengan nada yang sangat sayu. Aiman, bangun sayang, bangunlah, janganlah takutkan mama, bangun nak...Aiman sayang mama kan...Rabbi Yassir wala Tu'assir, sesekali doa tersebut keluar dari mulutnya. Saya memasang double signal. Memandu 120-130km sejam. Jalan ke Hospital Segamat petang itu agak sibuk. Maklumlah pukul 5 petang. Waktu keluar pejabat. Dalam keadaan begitu, trafic light Segamat tidak banyak membantu pemanduan saya. Namun, ada juga pemandu yang terperasaan kerdipan double signal Saga saya lalu memberi ruang untuk Saga maju ke hadapan. Akhirnya sekitar 5.30 petang kami tiba di perkarangan laluan kecemasan Hospital Segamat. Lina terus meluru keluar. Beberapa petugas Hospital berseragam putih membantu Lina... Alhamdulillah, Aiman diberi rawatan kecemasan. Lina bernafas lega. Suaminya di Kuala Lumpur juga lega pastinya. Emak Lina kelihatan masih risau. Saya? Saya menangis lagi, tetapi di dalam hati... Wahai pembaca Madah Muslimah Melayu, doakanlah Hazlina Hassan. Beliau telah mohon berpindah ke UiTM Shah Alam. Bulan April ini, mesyuarat akan dijalankan di Shah Alam. Saya fikir beliau layak berpindah. Dengan keadaan anak-anaknya yang sering tidak sihat, beliau patut tinggal serumah dengan suaminya. Jangan sampai ada kehilangan, baharulah lulus permohonan beliau... Ya Allah, permudahkan permohonan pindah Lina. Kasihanilah Lina dan suaminya. Mereka saling memerlukan demi kesihatan anak-anak mereka sendiri. Lembutkanlah hati pembuat keputusan yang membuat keputusan pindah Lina itu Ya Allah. Rabbi Yassir Wala Tu'assir...Satukanlah keluarga Lina kembali...

Monday, March 28, 2011

Pencinta Buku

Duit RM100 yang saya simpan sejak bulan lepas masih kemas terlipat dan terselit di dalam dompet. Ia adalah untuk tujuan kecemasan dan keperluan. Kebetulan berlangsung Pesta Buku Segamat. Buku ialah keperluan bagi saya bukan kemahuan. Janji sejak Sabtu lepas saya penuhi dengan membawa anak-anak ke sana. Selepas hampir sejam membelek buku-buku yang berkenan di hati, kami ke kaunter bayaran. RM65.70 kesemuanya. Alhamdulillah ada baki. Saya bawa anak-anak ke Kedai Makan Rohaya bersebelahan Dewan tempat Pesta berlangsung. Inilah antara buku-buku yang telah dibeli. Fatihah seperti biasa teruja dengan novel karya Ain Maisarah. Farhan seperti biasa juga keliru untuk memilih antara 3 ke 4 novel. Lalu saya yang membuat pilihan untuknya. Fahim dan Fadhli lebih cenderung kepada novel penyiasatan. Saya pula keliru untuk memilih buku panduan jahitan baju kurung atau buku masakan. Kekecewaan menghantar kain ela 14 meter kepada seorang tukang jahit tahun lepas masih berbekas di hati. Jahitannya sungguh mengecewakan. Sejak Kak Mah Taman Dedap berehat dari menjahit, saya jenuh mancari tukang jahit lain. Saya terlihat buku Panduan A-Z Menjahit Baju Kurung. Setelah berfikir kurang panjang, saya capai sebuah. Saya berhenti di meja lain. Ternampak pula buku Senangnya Memasak karya Chef Hanieliza, maka kekeliruan antara jahitan dan masakan menerpa minda. Setelah berfikir agak panjang dalam keadaan bajet RM100, saya memilih buku masakan sebab anak-anak saya pemakan yang hebat. Masa untuk menjahit pula dilihat agak mustahil dengan keadaan diri saya yang hangat-hangat tahi ayam dalam sesetengah perkara.
Di dalam kereta semasa perjalanan pulang, mereka mula membaca. Alhamdulillah, saya dan anak-anak mencintai buku. Semoga tabiat ini berkekalan ke akhir hayat.


Pecinta Buku

Mari neneroka dunia baru

Dunia ilmu...

Saturday, March 26, 2011

Tahniah SRAB Segamat

Tahniah kepada ustaz-ustazah SRAB Bukit Siput yang berpenat jerih melatih wakil-wakil sekolah sehingga menjuarai kejohanan sukan seluruh Johor 2011. Usaha keras mereka selama ini berbaloi dan berbayar!

Selepas bangun dari sujud syukur, Angah tersenyum lebar...


Aksi menarik yang sempat di rakam. Bola berjaya ditangkis penjaga gol SRAB Segamat.

4-2, jangkaan saya hampir tepat!